Program Bicara Mufti : “Masjid Makmur, Ummah Sejahtera”
DURIAN TUNGGAL, 5 November – Program Forum Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Durian Tunggal telah berlangsung meriah di Masjid Ar Rahmah, Kampung Pancor, bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Forum bertemakan “Masjid Makmur, Ummah Sejahtera” itu turut dihadiri oleh YB Datuk Zahari Abd Kalil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh peranan masjid dalam membina masyarakat Islam yang sejahtera.
Program menampilkan dua panel jemputan iaitu Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Tuan Haji Hairul Amin bin Madon, Pegawai Khas Agama kepada Ketua Menteri Melaka dengan Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmi, Pembantu Hal Ehwal Islam Agama Jabatan Mufti Negeri Melaka sebagai moderator. Para panelis menekankan kepentingan memakmurkan masjid sebagai pusat ilmu, perpaduan dan kebajikan ummah.
Dalam majlis tersebut, Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin turut menyampaikan sumbangan kit makanan kepada beberapa penerima yang memerlukan, sebagai simbol keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin, institusi masjid dan masyarakat setempat selaras dengan konsep Wakil Rakyat Untuk Rakyat.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti : “Pegangan Ahli Sunnah Waljamaah, Benteng Daripada Kesesatan”
𝐁𝐔𝐊𝐈𝐓 𝐑𝐀𝐌𝐁𝐀𝐈, 17 Oktober – Sempena sambutan Maulidur Rasul 1447H, Masjid Ar Rahmah,Taman Bukit Rambai telah menganjurkan Program Forum Bicara Mufti yang berlangsung dengan penuh penghayatan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Program yang bermula pada jam 6.00 petang hingga 11.00 malam itu menampilkan dua tokoh ilmuwan tersohor iaitu Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Prof. Madya Dr. Hafiz bin Salleh, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka sebagai panel forum, manakala sesi dikendalikan oleh Ustaz Rosmanizam bin Rosdi selaku moderator.
Dengan tajuk forum “Pegangan Ahli Sunnah Waljamaah, Benteng Daripada Kesesatan”, para panelis menekankan kepentingan memahami serta mengamalkan ajaran Islam berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah sebagai asas kepada kesejahteraan ummah dan keteguhan aqidah umat Islam.
Dalam forum tersebut, para hadirin turut diberi pencerahan berhubung cabaran akidah masa kini serta kepentingan menangkis fahaman songsang yang boleh menggugat perpaduan umat. Suasana majlis menjadi lebih bermakna apabila para peserta turut berpeluang berinteraksi secara langsung bersama panel bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu-isu semasa agama.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan warga masjid, Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin turut berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada beberapa mantan pegawai syarak masjid yang kini sedang diuji dengan masalah kesihatan. Inisiatif ini mencerminkan semangat kepedulian dan ukhuwah Islamiah yang digalakkan oleh ajaran Nabi Muhammad SAW.





![]()
- Published in AKTIVITI
Kunjungan hormat daripada delegasi Mufti Kerajaan Negeri Kelantan
BUKIT PALAH, 10 Oktober – Jabatan Mufti Negeri Melaka hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Mufti Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan.
Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim serta mempererat kerjasama antara kedua-dua jabatan dalam pelbagai aspek, khususnya dalam bidang fatwa, penyelidikan dan pembangunan ilmu falak serta pemerkasaan pendidikan kefatwaan.
Delegasi disambut mesra oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama pegawai-pegawai kanan Jabatan Mufti Negeri Melaka. Sesi perbincangan berlangsung di Bilik Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Melaka diikuti dengan sesi taklimat ringkas berkenaan struktur organisasi, fungsi serta inisiatif semasa yang dilaksanakan oleh jabatan.
Antara perkara yang dibincangkan termasuklah peluang kerjasama dalam pembangunan modul latihan fatwa, pertukaran kepakaran dalam penyelidikan ilmiah Islam serta perkongsian teknologi dan data dalam bidang falak syarie..
Kunjungan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan dan kenangan antara kedua-dua pihak.
Jabatan Mufti Negeri Melaka merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kunjungan ini dan berharap agar jalinan kerjasama yang terjalin akan terus memberi manfaat kepada perkembangan institusi kefatwaan dan umat Islam secara amnya.




![]()
- Published in AKTIVITI
Seminar Pendidikan Fatwa Serantau Peringkat Negeri Melaka 2025M/1447H
MELAKA, 14 Oktober 2025 – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka telah menganjurkan Seminar Pendidikan Fatwa Serantau Peringkat Negeri Melaka 2025M/1447H bertempat di Auditorium Masjid Al-Azim, Melaka. Program ini diadakan bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap institusi fatwa serta memperluas jaringan kerjasama antara negeri-negeri dan agensi Islam di rantau ini.
Seminar yang menghimpunkan para ilmuan agama, pegawai hal ehwal agama, ahli akademik serta pelajar pengajian Islam ini menampilkan beberapa pembentangan ilmiah berkaitan isu-isu semasa hukum dan kaedah penyampaian fatwa dalam era digital.
Melalui penganjuran ini, Jabatan Mufti Negeri Melaka akan terus komited menjadi platform ilmu yang menyatukan pandangan ulama serantau serta mengukuhkan kedudukan institusi fatwa sebagai rujukan utama umat Islam di negeri ini.






![]()
- Published in AKTIVITI
Bengkel Pembangunan Klasifikasi Fail Ke Arah Pelaksanaan DDMS 2.0
MELAKA, 8 Oktober 2025 – Bengkel Pembangunan Klasifikasi Fail ke Arah Pelaksanaan DDMS 2.0 ini bagi menyelaras serta memperkemaskan pengurusan rekod dan dokumen rasmi jabatan. Melalui bengkel ini, peserta diberi pendedahan dan panduan untuk membangunkan struktur klasifikasi fail yang sistematik, seragam dan menepati fungsi serta tanggungjawab jabatan masing-masing. Usaha ini merupakan langkah persediaan ke arah pelaksanaan Digital Document Management System (DDMS) 2.0, iaitu sistem pengurusan dokumen digital yang dibangunkan oleh JDN bagi mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan maklumat kerajaan.
Selain itu, bengkel ini turut bertujuan memastikan jabatan mematuhi piawaian dan tatacara yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia (ANM) dalam pengurusan rekod awam, di samping membantu peserta membezakan antara fail fungsian dan fail am secara teratur. Penganjuran bengkel ini juga menjadi platform penyelarasan antara bahagian dan unit supaya wujud keseragaman dalam penggunaan, penamaan serta penyimpanan fail sama ada dalam bentuk fizikal atau digital.
Secara keseluruhannya, bengkel ini berperanan penting dalam memperkukuh tadbir urus maklumat jabatan melalui pembangunan klasifikasi fail yang mantap, selaras dengan usaha transformasi pendigitalan pengurusan dokumen kerajaan menerusi pelaksanaan DDMS 2.0









![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti : “Harta Dunia, Bekalan Akhirat: Indahnya Amalan Berwakaf”
DURIAN TUNGGAL, 5 Oktober – Masjid Ihsanuddin Kampung Gangsa Baru diserikan dengan kehadiran ratusan jemaah yang membanjiri ruang masjid bagi menyertai Program Bicara Mufti, sebuah program ilmiah yang berlangsung penuh penghayatan dan sarat dengan pengisian rohani. Majlis ini menjadi medan pertemuan ilmu dan ukhuwah, menjadikan program ini begitu bermakna dalam memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Bertemakan “Harta Dunia, Bekalan Akhirat: Indahnya Amalan Berwakaf”, forum ini dianjurkan bertujuan menyemarakkan sambutan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui pengisian ilmiah yang mengupas peranan wakaf sebagai salah satu amalan jariah yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.
Program berbentuk forum bual bicara ini menampilkan barisan panel terkemuka iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Tuan Haji Hairul Amin bin Madon, Penasihat Agama kepada YAB Ketua Menteri Melaka. Sesi forum telah dikendalikan oleh Ustaz Shahrir Asyraf Bin Haji Azmi, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Melaka selaku moderator.
Dalam forum tersebut, para panel membicarakan keindahan dan kelebihan amalan berwakaf, bukan sahaja sebagai ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, tetapi juga sebagai satu bentuk pelaburan akhirat yang berpanjangan. Mereka menekankan bahawa wakaf mampu memberi impak besar dalam aspek pembangunan ummah, termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan, dan kesihatan.
Sebagai simbol keprihatinan dan semangat Maulidur Rasul, beliau juga berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada beberapa orang mantan pegawai syarak Masjid Ihsanuddin Kampung Gangsa Baru yang kini sedang diuji dengan masalah kesihatan. Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban dan menyuntik semangat kepada penerima untuk terus tabah menghadapi ujian.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti : “Meneladani Akhlak Rasulullah SAW Dalam Membina Perpaduan”
TG.KLING, 4 Oktober – Sempena sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M, Masjid At-Taqwa, Bukit Darat, Tanjung Kling telah menjadi lokasi penganjuran Program Bicara Mufti yang berlangsung pada hari Sabtu bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Forum yang bertemakan “Meneladani Akhlak Rasulullah SAW Dalam Membina Perpaduan” ini bertujuan memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap peranan akhlak Nabi Muhammad SAW sebagai asas kepada perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.
Program istimewa ini menampilkan dua tokoh ilmuan terkemuka iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Datuk Haji Rahimin bin Bani, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka sebagai panel forum. Sesi perbincangan dikendalikan oleh Ustaz Rosmanizam bin Rosdi selaku moderator, yang berjaya menghidupkan suasana dengan kupasan yang mendalam serta interaktif bersama para hadirin.
Selain forum ilmiah, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil turut berkesempatan menyampaikan sumbangan berupa kit makanan kepada beberapa ahli qariah yang diuji dengan masalah kesihatan di kampung berhampiran. Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, selari dengan semangat kasih sayang dan kebajikan yang diteladani daripada Rasulullah SAW.
Para pengunjung yang hadir memenuhi ruang masjid memberikan sambutan hangat dan menunjukkan minat mendalam terhadap kupasan isu-isu semasa berkaitan perpaduan dan nilai-nilai murni dalam kehidupan berasaskan sunnah Rasulullah SAW.
Program ini bukan sahaja mengangkat nilai-nilai keislaman, malah berjaya menyatukan masyarakat setempat dalam suasana penuh harmoni dan keinsafan sempena bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti : “Bersatu Hati, Membina Ummah: Teladan Dari Sirah Nabawiyyah”
DURIAN TUNGGAL, 2 Oktober – Program Bicara Ilmu Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Ar Rahman, Parit Melana, malam tadi. Program yang bertemakan “Bersatu Hati, Membina Ummah: Teladan Dari Sirah Nabawiyyah” itu berjaya menarik kehadiran jemaah yang merupakan penduduk kampung berhampiran.
Forum yang bermula pada jam 6.00 petang hingga 11.00 malam itu menampilkan dua tokoh ilmuwan terkenal sebagai panel, iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Sesi forum telah dikendalikan dengan penuh berhemah oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal Bin Nor Azmi, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka selaku moderator.
Dalam forum tersebut, para panelis menyentuh pelbagai aspek penting daripada sirah Nabi Muhammad SAW yang dapat dijadikan panduan dalam usaha memperkukuhkan perpaduan ummah. Penekanan diberikan kepada nilai kasih sayang, tolak ansur, dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sepanjang perjuangan baginda dalam membina masyarakat Islam yang utuh dan berdaya tahan.
Menambahkan lagi makna dalam program ini, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil turut berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada beberapa penduduk yang memerlukan di kawasan sekitar Masjid Ar Rahman. Inisiatif ini mencerminkan semangat kepedulian sosial yang selari dengan ajaran Islam dan nilai-nilai murni yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Para hadirin turut diberi peluang mengajukan soalan kepada panelis dalam sesi soal jawab yang berlangsung secara interaktif dan penuh ilmiah. Program ini bukan sahaja memberi pencerahan kepada jemaah, malah turut menyemarakkan semangat cintakan Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Datuk Zahari bin Abd Khalil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal yang turut meluangkan masa bersama penduduk setempat bagi memeriahkan lagi program ilmu ini.





![]()
- Published in AKTIVITI
Forum Bicara Mufti : Bertemakan “Membina Keluarga Bahagia Mengikut Sunnah” di Masjid As-Syakirin, Sungai Rambai, Melaka
SG RAMBAI, 20 September – Sempena Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1447 H, Masjid As-Syakirin Sungai Rambai telah menjadi lokasi penganjuran Forum Bicara Mufti, satu program ilmiah yang mendapat sambutan dikalangan masyarakat setempat.
Bertemakan “Membina Keluarga Bahagia Mengikut Sunnah”, forum ini bertujuan memberi pencerahan tentang peranan dan tanggungjawab dalam institusi kekeluargaan berlandaskan sunnah Rasulullah SAW. Forum kali ini menampilkan dua panelis tersohor iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, dan Prof Madya Dr Muhammad Hafiz bin Salleh, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dengan sesi dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmi, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka selaku moderator.
Para panelis telah menyampaikan kupasan yang mendalam mengenai konsep kebahagiaan rumahtangga dalam Islam, dengan menekankan kepentingan komunikasi, kasih sayang, dan teladan Rasulullah SAW dalam memimpin keluarga.
Lebih istimewa, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil turut meluangkan masa pada sebelah petang sebelum forum untuk menziarahi beberapa keluarga di kampung berhampiran yang sedang diuji dengan masalah kesihatan. Dalam kunjungan tersebut, beliau menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan asas sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan.
Kehadiran para jemaah yang memenuhi ruang solat utama masjid jelas membuktikan minat dan komitmen masyarakat dalam menimba ilmu serta mendekatkan diri kepada nilai-nilai Islam. Sesi forum turut diserikan dengan sesi soal jawab interaktif yang memberikan peluang kepada para hadirin untuk mengajukan persoalan secara langsung kepada panelis.
Program ini diharap dapat menjadi platform berterusan untuk memperkukuh kefahaman agama dan membina masyarakat yang harmoni berasaskan ajaran Islam yang syumul.





![]()
- Published in AKTIVITI
Forum Bicara Mufti bertemakan “Menghidupkan Sunnah, Menyuburkan Cinta”, bertempat di Masjid Raudhatul Solihin, Ayer Limau, Masjid Tanah.
AYER LIMAU, 19 September – Sempena sambutan Maulidur Rasul 1447 Hijrah, Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Forum Bicara Mufti bertemakan “Menghidupkan Sunnah, Menyuburkan Cinta”, bertempat di Masjid Raudhatul Solihin, Ayer Limau, Masjid Tanah.
Program dimulakan lebih awal dengan sesi Ziarah Kasih pada jam 6.30 petang, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyantuni beberapa keluarga di kawasan sekitar yang sedang diuji dengan masalah kesihatan. Inisiatif ini menggambarkan nilai empati dan kasih sayang yang selari dengan ajaran Rasulullah SAW.
Forum ilmiah ini menampilkan dua tokoh hebat sebagai panel iaitu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Dr Mohamad Nazli bin Omar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka serta Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka turut memainkan peranan sebagai moderator yang mengemudi forum dengan lancar dan penuh hikmah.
Penganjuran forum ini bukan sahaja berperanan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, malah turut menjadi platform mendidik masyarakat tentang kepentingan menghidupkan sunnah dan menzahirkan cinta yang tulus kepada Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.




![]()
- Published in AKTIVITI










