Program “Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR)” Dun Duyong
SEMABOK, 24 Julai – Program anjuran bersama Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Japerun Duyong berjaya menarik perhatian masyarakat setempat melalui pendekatan santai dan ilmiah dalam menyantuni serta memberi pencerahan kepada komuniti. Program ini diadakan sempena inisiatif “Wakil Rakyat Untuk Rakyat” di bawah kepimpinan YB Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, ADUN Duyong merangkap Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital.
Program dimulakan pada sebelah petang dengan Program Ziarah Kasih di sekitar perkampungan berdekatan Masjid Al-Abrar, Semabok. Penyampaian penuh santun oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, menyentuh aspek kasih sayang, perpaduan komuniti, serta tanggungjawab sosial antara rakyat dan pemimpin.
Pada sebelah malamnya pula, tumpuan beralih ke program ilmiah utama iaitu “Forum Bicara Mufti Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat” yang berlangsung di Dewan Serbaguna Semabok, bermula jam 9.00 malam hingga 11.30 malam.
Forum bertemakan “Keluarga Digital: Mendepani Cabaran Tanpa Hilang Arah” mengupas isu berkaitan perubahan gaya hidup digital dalam kalangan masyarakat, khususnya institusi keluarga yang kini berdepan pelbagai cabaran teknologi. Antara panel yang dijemput khas ialah Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka; Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Rosmanizam bin Rosdi bertindak selaku moderator.
Perbincangan forum menyentuh kepentingan membina keluarga yang celik digital tetapi masih berpaksikan nilai agama, selain menekankan peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak anak-anak di zaman media sosial dan teknologi pintar.
Forum ini juga menjadi wadah penting dalam menyampaikan mesej dakwah secara kontemporari, yang dekat dengan isu kehidupan sebenar masyarakat hari ini. Kehadiran ramai pengunjung membuktikan sambutan positif dan minat tinggi masyarakat terhadap program yang membina dan mendidik.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti di Masjid Al-Aminin, Batang Tiga, Klebang, Melaka
KLEBANG, 18 Julai – Gabungan kasih sayang, kepedulian dan ilmu agama menyerlah indah dalam Program Bicara Mufti yang berlangsung di Masjid Al-Aminin, Batang Tiga, Klebang. Program anjuran Jabatan Mufti Melaka ini berjaya menyentuh hati masyarakat melalui dua pengisian utama – Ziarah Kasih dan Forum Bicara Mufti.
Program dimulakan dengan sesi Ziarah Kasih yang menyaksikan kehadiran Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka sendiri turun padang menyantuni penduduk kampung yang diuji dengan masalah kesihatan. Kunjungan muhibah ini bukan sekadar membawa kata-kata semangat dan doa, tetapi turut diserikan dengan pemberian kit makanan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.
Pada sebelah malam, program diteruskan dengan Forum Bicara Mufti yang mengangkat tajuk “Haji Memenuhi Kewajipan, Merancang Kewangan” telah membuka mata dan hati para jemaah mengenai pentingnya membuat perancangan rapi dalam menunaikan ibadah haji merupakan satu rukun Islam yang memerlukan kesediaan bukan sahaja rohani, tetapi juga dari segi kewangan.
Panel forum terdiri daripada Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Ustaz Ismanizam bin Ismail, Pegawai Syariah Maybank Islamic Malaysia manakala tugas moderator digalas dengan cemerlang oleh Ustaz Rosmanizam bin Rosdi. Ketiga-tiga figura ini telah menyampaikan kupasan yang mendalam, diselitkan dengan nasihat praktikal menjadikan sesi forum penuh inspirasi dan refleksi.
Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi keagamaan dan komuniti, malah menyuburkan rasa cakna terhadap tanggungjawab sesama insan serta memperkasa ilmu agama dalam kalangan masyarakat.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti anjuran Bahagian Fatwa dan Buhuth Jabatan Mufti Negeri Melaka di Masjid Al-Amin, Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah, Melaka
ALOR GAJAH, 16 Julai – Program Bicara Mufti anjuran Bahagian Fatwa dan Buhuth Jabatan Mufti Negeri Melaka telah berjaya menarik perhatian masyarakat setempat melalui pelbagai pengisian ilmiah dan kebajikan yang berlangsung di Masjid Al-Amin, Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah, Melaka.
Program dimulakan dengan sesi Fenomena Istiwa A’dzam yang berlangsung dari jam 4.30 petang hingga 6.00 petang. Sesi ini dibimbing oleh Ustaz Ahmad Zainal Abidin, Pensyarah MMU yang juga Bendahari Persatuan Falak Syarie Melaka. Beliau memberi penerangan tentang fenomena istiwa a’dzam yang berlaku dua kali setahun dan kepentingan peristiwa ini bagi penentuan arah kiblat. Penduduk kampung turut berpeluang melihat sendiri fenomena ini dan mempraktikkan penentuan arah kiblat yang betul.
Sejurus selepas itu, program diteruskan dengan aktiviti Ziarah Kasih yang diketuai oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Negeri Melaka. Lawatan ini menyantuni beberapa keluarga yang diuji dengan masalah kesihatan dengan pemberian sumbangan berupa kit makanan. Program ini dilihat sebagai usaha murni memperkukuhkan hubungan antara institusi agama dan masyarakat.
Kemuncak program berlangsung pada sebelah malam dengan Forum Bicara Mufti yang bermula jam 8.00 malam hingga 11.00 malam. Forum yang membawa tajuk “Hijrah Jiwa, Harmoni Ummah” itu menampilkan Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin, Timbalan Mufti Negeri Melaka dan Dr Muhammad Nazli bin Omar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka sebagai panel manakala Ustaz Mohd Shahrir Asraf bin Haji Azmi bertindak selaku moderator. Forum ini membincangkan kepentingan hijrah dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan berakhlak.
Turut hadir memeriahkan forum berkenaan ialah tetamu kehormat, YB Tuan Haji Zulkiflee bin Datuk Seri Haji Mohd Zin, Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim, Dan Pengurusan Bencanayang juga merupakan ADUN Taboh Naning menyatakan sokongan terhadap penganjuran program keilmuan seperti ini dalam usaha memperkukuh kefahaman agama dalam kalangan masyarakat.





![]()
- Published in AKTIVITI
Bengkel Kelab Falak Dan Astronomi Siri 1/2025 Modul Penggunaan Takwim Hijri Dan Miladi Pada Masa Kini Peringkat Negeri Melaka
TG. BIDARA, 10 Julai – Seramai 200 pelajar daripada 20 buah sekolah yang menyertai Sekolah-Sekolah Kelab Falak Negeri Melaka di bawah seliaan Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menyertai Bengkel Kelab Falak Dan Astronomi Siri 1/2025 Modul Penggunaan Takwim Hijri Dan Miladi Pada Masa Kini Peringkat Negeri Melaka bertempat di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara.
Bengkel sehari yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini mengetengahkan Modul Penggunaan Takwim Hijri dan Miladi Pada Masa Kini, selaras dengan usaha memperkukuh kefahaman pelajar terhadap sistem kalendar Islam dan penggunaannya dalam kehidupan seharian serta penyelarasan dengan kalendar Masihi.
Antara pengisian utama bengkel termasuk tiga slot pembentangan yang disampaikan oleh fasilitator jemputan, En. Razlan bin Ahmad, merangkumi topik Taklimat Penentapan Awal Bulan Islam di Malaysia, Kaedah Pembentukan Takwim Hijri dan Miladi di Malaysia dan Imkanur Rukyah: Kaedah Penetapan Awal Bulan Islam di Malaysia.
Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Tuan Shaifulfazlee Bin Mohamad, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka. Turut hadir memberikan sokongan dan semangat kepada para peserta ialah Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Bengkel ini bukan sahaja memberi pendedahan teori dan praktikal kepada pelajar berkaitan ilmu falak, malah menjadi platform untuk menyemai minat mendalam terhadap kajian astronomi Islam sejak di bangku sekolah.





![]()
- Published in AKTIVITI
Bengkel Pemantapan Modul Kelab Falak dan Astronomi
PANTAI PUTERI, 4 Julai – Bengkel Pemantapan Modul Kelab Falak dan Astronomi bagi guru-guru penyelaras seluruh negeri Melaka telah berjaya dilaksanakan pada 3 hingga 4 Julai 2025 bertempat di Puteri Bay Hotel, Melaka. Bengkel selama dua hari ini bertujuan memperkasakan pelaksanaan aktiviti Kelab Falak dan Astronomi di peringkat sekolah menerusi pengukuhan modul dan peningkatan pengetahuan guru-guru.
Bengkel ini dikendalikan oleh penceramah jemputan, Encik Shahrin bin Ahmad, Pengasas Portal Falak Online yang berpengalaman luas dalam bidang falak dan astronomi. Sepanjang dua hari bengkel berlangsung, para peserta didedahkan kepada empat modul utama yang menyentuh aspek teori dan praktikal dalam bidang astronomi.
Pada hari pertama bengkel, sesi dimulakan dengan Modul Pengenalan Ilmu Falak dan Astronomi pada jam 9.00 pagi, diikuti Modul Objek Angkasa dan Fenomena Angkasa pada jam 11.00 pagi. Sesi petang diteruskan dengan Modul Koordinat dan Penggunaan Perisian Astronomi yang memberi pendedahan kepada kaedah menentukan kedudukan objek langit menggunakan kaedah khusus.
Hari kedua bengkel dimulakan dengan Modul Pengenalan dan Penggunaan Teleskop yang memberi peluang kepada peserta untuk memahami asas penggunaan peralatan penting dalam pemerhatian langit malam.
Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh YBhg. Puan Mahfudzah binti Mohamed Nor, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Dalam ucapannya, YBhg. Puan Mahfudzah menekankan kepentingan ilmu falak dalam pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar, serta menyeru agar guru-guru penyelaras meneruskan usaha membudayakan ilmu falak ini di sekolah masing-masing. Usaha Jabatan Mufti Negeri Melaka ini turut memberikan suntikan semangat dan pengiktirafan kepada bidang falak sebagai salah satu disiplin ilmu yang relevan dalam pendidikan masa kini.
Bengkel ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada penghasilan modul yang lebih mantap dan sistematik, sekali gus memperkukuhkan peranan Kelab Falak dan Astronomi sebagai medium pendidikan berasaskan sains dan nilai-nilai Islam.
Bengkel sehari yang bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini mengetengahkan Modul Penggunaan Takwim Hijri dan Miladi Pada Masa Kini, selaras dengan usaha memperkukuh kefahaman pelajar terhadap sistem kalendar Islam dan penggunaannya dalam kehidupan seharian serta penyelarasan dengan kalendar Masihi.
Antara pengisian utama bengkel termasuk tiga slot pembentangan yang disampaikan oleh fasilitator jemputan, En. Razlan bin Ahmad, merangkumi topik Taklimat Penentapan Awal Bulan Islam di Malaysia, Kaedah Pembentukan Takwim Hijri dan Miladi di Malaysia dan Imkanur Rukyah: Kaedah Penetapan Awal Bulan Islam di Malaysia.
Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Tuan Shaifulfazlee Bin Mohamad, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka. Turut hadir memberikan sokongan dan semangat kepada para peserta ialah Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Bengkel ini bukan sahaja memberi pendedahan teori dan praktikal kepada pelajar berkaitan ilmu falak, malah menjadi platform untuk menyemai minat mendalam terhadap kajian astronomi Islam sejak di bangku sekolah.





![]()
- Published in AKTIVITI
Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 (Hari Ketiga)
TG. BIDARA, 3 Julai– Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 anjuran Bahagian Fatwa dan Buhuth Jabatan Mufti Negeri Melaka telah berlangsung dengan jayanya selama 3 hari bermula 1 Julai hingga 3 Julai 2025 bertempat di Dewan Hamal, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara. Kursus yang dihadiri oleh seramai 52 orang peserta ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh ilmu dan kefahaman calon pegawai masjid dalam pelbagai aspek pengurusan dan hukum-hakam Islam.
Program dimulakan pada jam 8.30 pagi dengan Slot 7 bertajuk “Munakahat” yang disampaikan oleh Ustaz Huzailan bin Hamzah, memberi penekanan kepada hukum dan peranan pegawai masjid dalam urusan perkahwinan serta isu-isu semasa berkaitan munakahat.
Sesi diteruskan pada jam 11.00 pagi dengan Slot 8 bertajuk “Pengurusan Taharah”, yang dikendalikan oleh Ustaz Arif Ariffin bin Abu Bakar. Slot ini memberi pendedahan mendalam kepada peserta mengenai aspek kebersihan diri dan ibadah, khususnya dalam konteks pengurusan masjid dan komuniti.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Slot 9: Latihan Dalam Kumpulan bermula jam 2.00 petang hingga 3.30 petang. Slot ini memberi ruang kepada peserta untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam bentuk perbincangan dan pembentangan berkumpulan.
Kursus ini diakhiri dengan Majlis Penangguhan yang berlangsung pada jam 3.30 petang. Majlis telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan ilmu dan tanggungjawab besar yang bakal digalas oleh para pegawai masjid sebagai pemimpin komuniti Islam di Negeri Melaka.
Program ini bukan sahaja menjadi wadah pengukuhan ilmu tetapi turut memperkukuhkan jaringan kerjasama antara calon pegawai masjid dengan pihak berautoriti agama negeri.






![]()
- Published in AKTIVITI
Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 (Hari Kedua)
TG. BIDARA, 2 Julai – Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 diteruskan dengan pengisian tiga slot utama yang memberi fokus kepada kemahiran praktikal dan kefahaman asas peranan pegawai masjid.
Slot 4 bermula jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fadhil bin Nor Azman dengan tajuk Pengurusan Jenazah. Slot ini menekankan aspek teori dan praktikal berkaitan pengendalian jenazah mengikut hukum syarak dan tatacara yang betul.
Slot 5 dan 6 yang berlangsung pada jam 10.30 pagi hingga 1.00 petang dan disambung jam 2.30 hingga 4.30 petang telah dikendalikan oleh Prof. Dr. Muhammad Hafiz bin Saleh. Slot-slot ini memberi tumpuan kepada Azan, Iqamah dan Solat serta Ilmu Tajwid, yang penting dalam memastikan ketepatan penyampaian serta bacaan dalam ibadah harian.
Kursus ini merupakan salah satu inisiatif berterusan Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam melahirkan pegawai masjid yang kompeten, berilmu dan bersedia memikul amanah di institusi masjid negeri.





![]()
- Published in AKTIVITI
Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 (Hari Pertama)
TG.BIDARA, 1 Julai – Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Masjid Negeri Melaka Bil. 2/2025 anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Hamal, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Kursus yang dianjurkan ini bertujuan memperkukuhkan ilmu dan kefahaman para calon pegawai masjid dalam bidang-bidang teras seperti akhlak Islam dan tasawwuf, akidah, serta hukum-hakam sembelihan dan ibadah korban.
Antara fasilitator jemputan yang menyampaikan pengisian ilmiah sepanjang kursus ini ialah Ustaz Mohd Haneef bin Zin, yang membentangkan topik berkaitan akhlak Islam dan tasawwuf manakala Ustaz Shahrir Asraf bin Haji Azmi yang mengupas tajuk berkaitan akidah serta fiqh sembelihan dan korban.
Para peserta menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang sesi berlangsung dan diharapkan segala ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam perkhidmatan mereka di masjid kelak, selaras dengan matlamat memperkasa institusi masjid di Negeri Melaka.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Mufti Bersama Ummah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR)
MASJID TANAH, 30 Mei – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menganjurkan Program Mufti Bersama Ummah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sebagai usaha mendekatkan institusi kefatwaan kepada masyarakat. Program yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin Masjid Tengah, Lendu itu dihadiri oleh lebih 500 orang penduduk setempat.
Dalam usaha menyantuni Mantan Pegawai Syarak Masjid, Tuan Haji Hazarudin bin Haji Hazarudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan asas kepada Mantan Pegawai Syarak Masjid yang diuji dengan beberapa masalah kesihatan.
Sebagai pengisian ilmiah menjelang sambutan Aidiladha, sebuah forum berbentuk bual bicara bertemakan “Korban kerana Allah” telah menampilkan barisan panelis berwibawa iaitu Tuan Haji Hazarudin bin Haji Hazarudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Dr. Muhammad Hafiz bin Saleh, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka serta dimoderatorkan oleh Ustaz Muhammad Azheem Ikmal bin Nor Azmee, Pembantu Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka.
Program ini mendapat suntikan istimewa dengan kehadiran tetamu kehormat, YB Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman bin Md Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu yang sudi meluangkan masa bersama para jemaah dan barisan penceramah.





![]()
- Published in AKTIVITI
Cerapan Anak Bulan Hilal Zulhijjah 1446 Hijrah
TG.BIDARA, 27 Mei – Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil telah mengetuai Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Melaka di Balai Cerap Al-Khawarizmi, bagi melaksanakan Cerapan Anak Bulan Hilal Zulhijjah 1446 Hijrah.
Penentuan Hari Raya Korban pada tahun ini telah ditetapkan pada 7 Jun 2025 bersamaan 10 Zulhijjah 1446 Hijrah iaitu pada hari Sabtu dan telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.
Hasil cerapan petang ini, hilal tidak kelihatan di Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara disebabkan faktor cuaca.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil kemudiannya telah melaporkan kepada Pejabat Penyimpan Besar Mohor Raja-Raja berkaitan hasil cerapan pada petang tadi.
Maka, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja setelah menerima laporan dari semua negeri-negeri telah mengisytiharkan bahawa tarikh 1 Zulhijjah 1446H ditetapkan pada Khamis 29 Mei 2025M manakala Tarikh 10 Zulhijjah 1446H iaitu Hari Raya Aidiladha ditetapkan pada 7 Jun 2025M (Sabtu).
Sahibus Samahah Datuk Wira Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan seluruh warga Jabatan Mufti Negeri Melaka mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1446H.





![]()
- Published in AKTIVITI










