BUKIT PALAH, 6 Februari – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menerima kunjungan hormat daripada Tuan Agus Putra bin Apandi, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri Negeri Melaka dalam satu pertemuan rasmi bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Mufti Negeri Melaka, Pusat Islam, Melaka.
Kunjungan hormat tersebut telah disambut oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, bersama barisan pegawai kanan. Pertemuan ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim serta memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Agensi Agama Islam di Negeri Melaka.
Dalam sesi pertemuan ini, pihak Akademi Kenegaraan Malaysia turut menyatakan hasrat untuk mendapatkan pandangan dan kepakaran Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam memperkasa pengisian modul latihan kenegaraan berteraskan nilai-nilai Islam dan jati diri nasional.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil menyambut baik kunjungan hormat tersebut dan menzahirkan sokongan terhadap usaha Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dalam melahirkan pemimpin serta penjawat awam yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.




![]()



