TG. BIDARA, 17 Februari – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah melaksanakan Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan Peringkat Negeri Melaka bagi tahun 1447 Hijrah bertempat di Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka pada petang tadi. Majlis cerapan ini turut dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.
Cerapan rasmi telah diketuai oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, bersama Ahli Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri Melaka serta pegawai-pegawai falak Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Jabatan Ukur Pemetaan Negeri Melaka (JUPEM). Proses cerapan dimulakan dengan menjejak kedudukan matahari dan bulan menggunakan peralatan optik berteknologi tinggi iaitu teleskop berkomputer, kamera digital dan alat ukur Total Station.Kaedah yang digunakan bagi menetapkan permulaan awal bulan dalam takwim hijri di Malaysia berdasarkan kaedah rukyah (mencerap) dan hisab (imkanur rukyah).
Kaedah imkanur rukyah merupakan gabungan antara data-data kenampakan anak bulan dengan rekod kenampakan hilal di Malaysia bagi menentukan permulaan awal bulan. Selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam menetapkan tarikh bagi Hilal Rasmi (Ramadan, Syawal & Zulhijjah), Jabatan Mufti Negeri-Negeri bersama JUPEM akan melaksanakan Majlis Cerapan Rasmi Hilal bagi Ramadan pada 29 Syaaban 1447H.Hasil keputusan cerapan rasmi ini telah dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja seterusnya mengisytiharkan bahawa tarikh 1 Ramadan 1447H telah ditetapkan pada 19 Februari 2026M (Khamis).
Sahibus Samahah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan seluruh warga Jabatan Mufti Negeri Melaka mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak 1447H serta menyeru seluruh umat Islam agar menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh kesyukuran serta keinsafan dengan memperbanyakkan amal ibadah dan persiapan rohani.




![]()



