Program Bicara Mufti dan Iftar Jamaei Sempena Ramadan yang telah diadakan di Masjid Ar Rahman, Kg. Rantau Panjang, Masjid Tanah,Melaka
MASJID TANAH, 20 Mac – Hampir 200 orang jemaah hadir dalam Program Bicara Mufti dan Iftar Jamaei Sempena Ramadan yang telah diadakan di Masjid Ar Rahman, Kg. Rantau Panjang, Masjid Tanah,Melaka.
Terdahulu Program dimulakan dengan forum berkonsepkan bual bicara oleh Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Ustaz Shahrir Asraf bin Datuk Haji Azmi, Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Melaka selaku moderator membincangkan persoalan serta panduan di bulan Ramadan.
Kemudian, seramai 10 orang dikalangan mantan pegawai syarak Masjid Ar Rahman telah menerima sumbangan berbentuk kit makanan yang telah disampaikan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Turut hadir YB Datuk Zulkiflee bin Datuk Seri Mohd Zin, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana yang juga merupakan ADUN Taboh Naning.
![]()
- Published in AKTIVITI
Program Bicara Mufti dan Iftar Jamaei sempena Ramadan bersama komuniti Masjid Al-Hasaniah, Bukit Bulat, Alor Gajah, Melaka.
ALOR GAJAH, 24 Mac – Lebih 100 orang penduduk menyertai Program Bicara Mufti dan Iftar Jamaei sempena bulan Ramadan yang telah diadakan di Masjid Al-Hasaniah, Bukit Bulat, Alor Gajah, Melaka.
Majlis ini turut menyaksikan Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Negeri Melaka telah menyampaikan berbentuk kit makanan kepada 10 orang keluarga asnaf.
Seterusnya, program turut diisi dengan Tazkirah Ramadan yang telah disampaikan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin berkenaan “Amalan-Amalan Mencari 10 Malam Terakhir di Bulan Ramadan”.
Dalam pada itu, Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin turut berkesempatan berbuka puasa dan solat Tarawih secara berjemaah bersama penduduk Kampung Bukit Bulat, Alor Gajah.





![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Khatam Al-Quran 1446H Sempena Nuzul Al-Quran
DUYONG, 19 Mac – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) telah menganjurkan Majlis Khatam al-Quran 1446H sempena Nuzul al-Quran bertempat di Masjid Al Wahhab Permatang Duyong.
Bergema alunan bacaan ayat- ayat suci Al-Quran memenuhi ruang Masjid Al Wahhab Permatang Duyong apabila 350 peserta dengan tadarus terdiri daripada Pertubuhan Sahabat, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan orang awam bertadarus secara berkumpulan. Seterusnya, program ini juga diisi dengan Tazkirah Ramadhan yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Setelah itu, bagi Majlis Khatam al-Quran pula telah di pimpin oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka. Program ini diserikan lagi dengan kehadiran YB Datuk Mohd Noor Helmy Bin Abdul Halem, Timbalan Exco Sains Dan Teknologi, Inovasi Dan Komunikasi Digital.
Majlis Khatam al-Quran sebegini memupuk kecintaan kepada al-Quran dengan memahami sejarah al-Quran diturunkan serta membudayakan membaca al-Quran dalam kehidupan seharian dan menghayati keistimewaan serta keberkatan bulan Ramadhan.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Berlaga Centong Dun Tanjung Bidara dan Gotong-Royong Bubur Lambuk Perdana Peringkat Negeri Melaka
Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Japerun Tanjung Bidar, Japerun Kuala Linggi, CUEPACS Melaka, Zakat Melaka,Markas 3 Divisyen Kem Terendak, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Bidara, Syarikat Kompleksn Falak Al-Khawarizmi, Sekolah Menengah Tahfiz Al-Abqari dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan mengadakan Program Berlaga Centong Dun Tanjung Bidara dan Gotong-Royong Bubur Lambuk Perdana Peringkat Negeri Melaka pada 17 Mac 2025M/ 16 Ramadhan 1446H (Isnin) bertempat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kg. Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka. Tetamu kehormat YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka. Semua dijemput hadir
![]()
- Published in AKTIVITI
Program “Gegau Subuh” bersama Alif Satar
KRUBONG, 2 Mac – Program “Gegau Subuh” bersama Alif Satar yang telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Mufti Melaka sempena menyambut bulan Ramadan bagi tahun 2025 di Masjid Cina Negeri Melaka telah mendapat sambutan menggalakkan oleh rakyat Negeri Melaka.
Kira-kira 1,000 jemaah menyertai kempen yang dimulakan dengan solat subuh berjemaah yang telah dipimpin oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
Selepas solat, program diteruskan dengan Soal Jawab “Alif Tanya Mufti Jawab” berbentuk bual bicara yang mengupas berkenaan persoalan berkenaan hukum serta panduan di bulan Ramadan.





![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1446H/2025H
TG.BIDARA, 28 Feb – Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan bagi tahun 1446H/2025M telah diadakan di Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara.
Terdahulu majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka yang turut meluangkan masa mencerap anak bulan Ramadan.
Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka yang diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah melakukan cerapan hilal Ramadhan di Kompleks Falak Al-Khawarizmi pada petang Jumaat 29 Syaaban 1446H bersamaan 28 Februari 2025M dan telah melaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja setelah menerima laporan dari semua negeri-negeri telah mengisytiharkan bahawa tarikh 1 Ramadan 1446H ditetapkan pada Ahad 2 Mac 2025M.





![]()
- Published in AKTIVITI
Kunjungan hormat dari Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja (Cuepacs)
BUKIT PALAH, 24 Feb – Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil dan Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Tuan Haji Hazarudin Bin Haji Baharudin hari ini menerima kunjungan hormat dari Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato’ Dr. Haji Adnan bin Mat di Pejabat Mufti Negeri Melaka.
Pertemuan dua hala ini memberi kesempatan kepada kedua-dua belah pihak berbincang berkenaan kerjasama strategik serta membina hubungan dan berkongsi pendapat. Semoga dengan kunjungan hormat yang telah diadakan ini dapat meningkatkan jaringan strategik antara kedua-dua belah pihak.





![]()
- Published in AKTIVITI
Program Daurah Perdana & Pengijazahan Kitab Aqidah “Al-Kharidah Al-Bahiyyah’ yang telah dibimbing oleh Fadhilatu Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Al-Hanbali Al-Azhari Hafizahullah
BUKIT PALAH, 13 Feb – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengadakan Program Daurah Perdana & Pengijazahan Kitab Aqidah “Al-Kharidah Al-Bahiyyah’ yang telah dibimbing oleh Fadhilatu Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Al-Hanbali Al-Azhari Hafizahullah bertempat di Auditorium Masjid Al- Azhim.
Program Daurah dan Pengijazahan Kitab Akidah Al-Kharidah Al-Bahiyyah ini merupakan inisiatif yang bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri Melaka dalam melahirkan masyarakat yang berpegang teguh kepada dasar dan teras Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Program ini mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan seramai 400 peserta yang mempunyai asas dalam Bahasa Arab dan kemahiran itu membantu mereka memahami isi kandungan kitab dengan lebih mendalam serta menghayati hikmah dan inti pati ajaran yang disampaikan oleh Fadhilatu Syeikh.
Dimaklumkan pihak penganjur menyediakan bantuan terjemahan daripada suara kepada teks dalam Bahasa Melayu menerusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memudahkan penyampaian dan pemahaman dalam kalangan peserta yang kurang mahir dalam Bahasa Arab.
Yang Berhormat Datuk Haji Rosli bin Abdullah, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Hal Ehwal Agama telah merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Daurah Perdana dan Pengijazahan Kitab Akidah Al-Kharidah Al-Bahiyyah’ bersama Syeikh Dr. Muhammad Sayyid Al-Hanbali Al-Azhari bagi Peringkat Negeri Melaka diiringi Sahibus Samahah Datuk wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.
![]()
- Published in AKTIVITI
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 1/2025
BUKIT KATIL, 14 Feb – Telah bersidang Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 1/2025 yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Masjid Saidina Ali, Bukit Katil.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang menjadi medium perbincangan terhadap perkara-perkara yang memerlukan penjelasan hukum, seperti isu-isu perundangan, ekonomi, sosial, atau masalah-masalah lain yang berkaitan dengan kehidupan umat Islam khususnya di Melaka.
![]()
- Published in AKTIVITI
Majlis Bicara Mufti dan Penyerahan Sijil Tauliah Mengajar Agama & Al-Quran Siri 1/2025
BUKIT PALAH, 27 Jan – Seramai 100 orang penerima Tauliah Mengajar Agama dan Al-Quran Negeri Melaka telah menghadiri Majlis Bicara Mufti dan Penyerahan Sijil Tauliah Mengajar Agama & Al-Quran Siri 1/2025 yang telah diadakan di Bilik Kuliah Masjid Al-Azhim Negeri Melaka.
Majlis diisi dengan ceramah berkenaan Fiqh Ramadhan yang telah disampaikan oleh Dr Syed Syahridzan bin Syed Mohamed, Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah menyampaikan Sijil Tauliah berkenaan kepada pemegang tauliah yang hadir.
![]()
- Published in AKTIVITI









