TG.BIDARA, 18 Disember – Masjid Tanjung Bidara menjadi Masjid pilihan kali ini bagi Program Bicara Mufti anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka.
Program Bicara Mufti ini menjadi medium kepada Jabatan Mufti Negeri Melaka untuk mendekatkan masyarakat dari dalam dan luar bandar bagi menyampaikan informasi terkini berkaitan hal ehwal Islam khususnya isu-isu kefatwaan semasa.
Selaras dengan tajuk forum berkonsepkan bual bicara kali ini bertajuk “ISU-ISU KEFATWAAAN SEMASA” telah menampilkan barisan panel kehormat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, YBhg Dr Mohd Nadzli bin Haji Omar; Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan YBhg Ustaz Mohd Nidzar Bin Nor Mohamd; Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka selaku moderator.
Dalam sesi bual bicara yang berlangsung selama dua jam itu, barisan panel berkongsi serta memberi pencerahan berkaitan proses mengeluarkan sesuatu fatwa sehingga ia diwartakan bagi Kerajaan Negeri Melaka, Isu-Isu Fahaman Ajaran Sesat dan Tajdid Dalam Fatwa Supaya Institusi Kefatwaan Terus Kekal Relevan.