BATU BERENDAM, 17 Feb – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Al-Hidayah Batu Berendam telah menjayakan Program Bicara Mufti yang telah berlangsung di Masjid Jamek Al-Hidayah Batu Berendam malam tadi.
Program dimulakan dengan Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Al-Hidayah berkesempatan menyantuni dan menziarahi beberapa orang penduduk kampung berhampiran dengan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan.
Selesai solat maghrib berjemaah program diteruskan dengan program bual bicara berbentuk forum yang menampilkan barisan panel kehormat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Hj. Abdul Halim bin Tawil;Mufti Kerajaan Negeri Melaka, YBhg. Ustaz Ahmad Lutfi Bin Muharam; Pensyarah Fiqh & Usul Fiqh, Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling dan Ustaz Muhammad Adib bin Hatim;Pegawai Hal Ehwal Islam, JAIM selaku moderator bagi forum tersebut.
Forum yang membawa tajuk “Harta, Ibtila atau Tarbiyyah” itu turut memberi kesempatan kepada jemaah yang hadir untuk bertanyakan segala permasalahan yang berkaitan. Para panel dalam forum berkenaan juga turut memberi pengetahuan kepada jemaah tentang kesedaran dan kewajipan berzakat.
Dalam pada itu, beberapa kaunter informasi serta pameran dari Agensi Agama Negeri Melaka seperti Pusat Zakat Melaka, Majlis Agama Islam Negeri Melaka, Mahkamah Syariah Negeri Melaka dan Kementerian Dalam Negeri turut dibuka kepada jemaah yang hadir.