MELAKA TENGAH, 30 Mac – Menerusi Bahagian Falak Syari’e Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah mengadakan Bengkel Penyediaan Takwim & Waktu Solat Negeri Melaka Bagi Tahun 1445H/2023M-2024M yang telah berlangsung di Hotel La Crista, Melaka.
Kursus yang berlangsung selama dua hari ini telah disertai seramai 30 orang yang terdiri daripada Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Melaka, Pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan Melaka dan Ahli Jawatankuasa Rukyah Negeri Melaka.
Para peserta diberi pendedahan berkenaan Pelaksanaan Ilmu Falak Dalam Konteks Takwim & Waktu Solat, Perubahan Kriteria Imkan Al-Rukyah 2021 terhadap Takwim di Malaysia dan Kaedah Pengiraan Takwim & Waktu Solat Negeri Melaka yang telah disampaikan oleh En. Ahmad Taufan bin Abdul Rashid dari Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).
Datuk Wira Haji Md. Rawi bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka merasmikan bengkel berkenaan dalam ucapan perasmiannya berkata: “Beliau berharap agar bengkel yang diadakan dapat memberi pendedahan kepada peserta dalam menyediakan data-data waktu solat dan menyusun takwim hijri bagi tahun 1445H/2023M-2024M di samping mendapat ilmu tambahan dalam kaedah pengiraan takwim dan waktu solat”.
Dalam pada itu, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Datuk Wira Haji Md. Rawi bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka berkesempatan menyantuni para peserta menerusi Majlis Berbuka Puasa bersama para peserta bengkel berkenaan.