MASJID TANAH, 19 Ogos – Program Bicara Mufti anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah diadakan di Masjid Ar- Razak, KampungPulau, Masjid Tanah, Melaka.
Program dimulakan dengan Ziarah Kasih oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Ar-Razak meluangkan masa menyantuni tiga buah keluarga terpilih terdiri dari Mantan Pegawai Syarak Masjid Ar-Razak dan Guru KAFA.
Setelah itu, selepas solat maghrib secara berjemaah program diteruskan dengan forum berbentuk bual bicara yang telah menampilkan panel hebat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Dr Mohamad Nazli bin Omar, Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan Ustaz Shahril Asraf bin Datuk Haji Azmi, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Melaka selaku moderator.
Dalam forum berkenaan antara kupasan menarik yang dilontarkan oleh panelis adalah berkaitan “Perpaduan Teras Malaysia Madani” serta beberapa isu kefatwaan semasa turut dikupas.
Seramai 200 orang terdiri dari penduduk kampong berhampiran hadir bagi mengimarahkan majlis ilmu berkenaan.