TG.BIDARA, 2 November – Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah menganjurkan Seminar Kesedaran Dan Advokasi Penipuan Pakej Umrah yang telah diadakan bertempat di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Seminar dimulakan dengan ceramah bertajuk “Jerat Tidak Pernah Melupakan Pelanduk” yang telah disampaikan oleh Ustaz Yus Mahadi bin Yusoff, Penolong Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) berkenaan kesedaran kepada masyarakat agar tidak tertipu dengan penawaran Pakej Badal Haji dan Umrah daripada syarikat yang tidak bertauliah dan meragukan.
Seminar kemudian diteruskan dengan diskusi bertajuk berbentuk forum yang menampilkan ASP Mohd Saadon bin Sabrin, Pegawai Penyiasat Jenayah Pelaburan Bersindiket dan Lain-lain Jenayah JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Prof.Dr.Nuraisyah Chua binti Abdullah, Profesor Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan Ustaz Murad bin Amat, Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Melaka sebagai moderator.
Seminar yang dihadiri seramai 250 orang itu bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran terhadap para peserta mengenai aktiviti penipuan pakej umrah dan menyediakan sumber maklumat yang tepat dan sahih bagi menangani isu penipuan pakej umrah yang berleluasa di kalangan masyarakat kini.
Seminar itu telah dirasmikan oleh YB Datuk Rahmad bin Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka.