TG.BIDARA, 16 November – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah menganjurkan Kursus Imam bagi Surau-Surau yang telah diberi kebenaran khas mengadakan Solat Jumaat di Negeri Melaka bertempat di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara Melaka.
Antara pengisian ceramah yang disampaikan dalam kursus yang berlangsung sehari ini, para peserta yang hadir diberi pendedahan dan penerangan oleh Datuk Muhammad bin Hashim, Imam Besar Masjid Negeri Melaka berkaitan Ciri-Ciri Seorang Pegawai Syarak(Imam), Rukun Qauli & Amali Solat , Persediaan Khatib dan Teknik Penyampaian Khutbah.
Objektif utama kursus ini bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta mengenai tugas dan tanggungjawab seorang imam dalam aspek pengurusan masjid serta meningkatkan sahsiah diri imam dan melahirkan imam yang profesional dalam melaksanakan tugasannya.
Kursus yang dihadiri seramai 70 orang terdiri daripada imam-imam di Negeri Melaka itu, telah dirasmikan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka yang juga berkesempatan menyampaikan sijil kepada peserta yang hadir.