SEMABOK,12 Januari – Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama-sama Petronas Dagangan Berhad telah menjalankan satu kerjasama dalam menjalankan kerja-kerja penandaan arah kiblat bagi 48 buah stesen Petronas seluruh Negeri Melaka.
Petronas Dagangan Berhad telah mengusahakan agar semua stesen-stesen Petronas di Negeri Melaka dilengkapi dengan kemudahan surau yang boleh digunakan oleh orang ramai. Surau-surau ini hendaklah mengikut arah kiblat yang telah disemak oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka agar tiada keraguan bagi kegunaan orang awam.
Kerja-kerja semakan arah kiblat ini telah dilaksanakan selama 2 bulan dengan kerjasama pemilik-pemilik stesen-stesen Petronas di seluruh Negeri Melaka.
Justeru itu, sebanyak 48 buah stesen Petronas di Negeri Melaka ini telah menerima Sijil Arah Kiblat berkenaan di dalam sebuah Majlis Penyerahan yang telah diadakan di Stesen Petronas Semabok pagi tadi. Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Melaka; Datuk Wira Haji Md Rawi bin Mahmud diiringi Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah menyerahkan sijil kiblat berkenaan kepada 48 buah stesen Petronas di seluruh Negeri Melaka.
Dalam pada itu, Datuk Wira Haji Md Rawi bin Mahmud bersama En.Norazlan bin Subaha; Pengurus Besar Bahagian Runcit (Bahan Api) Petronas Dagangan Berhad juga berkesempatan menyantuni beberapa orang asnaf yang telah menerima Kit Makanan Petronas.