BUKIT PALAH, 4 April – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengadakan Majlis Penyampaian Tauliah Mengajar Agama & Al-Quran Negeri Melaka Siri 1 bagi tahun 2024 yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka jam 9.30 pagi tadi.
Majlis penyampaian tauliah mengajar agama ini diadakan sebagai mengiktiraf pada penerima tauliah dan sebagai simbolik kepercayaan kepada mereka yang telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu yang sahih dan berlandaskan hukum syarak.
Majlis dimulakan dengan amanat dari Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka dalam ucapannya berkata tugas dan tanggungjawab yang telah diberi kepada pemegang tauliah hendaklah digunakan sebagai saluran terbaik dalam menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat Islam di Negeri Melaka ini. Dalam pada itu, beliau juga menyarankan agar semua Pemegang Tauliah Negeri Melaka diingatkan supaya tidak mencampuradukkan isu agama dengan politik kepartian agar persaudaraan dan perpaduan masyarakat Islam di Negeri Melaka khususnya terus harmoni .
Di dalam majlis tersebut juga Sahibus Samahah Datuk Wira Abdul Halim bin Tawil telah menyampaikan watikah tauliah kepada 34 orang yang telah berjaya menerima watikah tauliah pada majlis kali ini.