KUALA LUMPUR, 21 November – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil.3/2023 telah bersidang pada 19 November 2023 sehingga 21 November 2023 bertempat di Tamu Hotel & Suites, Kampung Bharu, Kuala Lumpur.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang menjadi medium perbincangan dan penyelidikan kepada ahli-ahli mesyuarat berkenaan hukum bagi isu-isu yang diutarakan oleh pihak yang memerlukan keputusan dan penjelasan hukum.
Pembentangan kertas kerja kali ini telah dibentang dan diberi penerangan oleh pelbagai agensi antaranya Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Agama Islam Negeri Melaka, Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Pusat Zakat Negeri Melaka, Lembaga Zakat Selangor dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.
Antara pembentangan kertas kerja yang dibentangkan berkaitan Penetapan Kadar Zakat Fitrah di Negeri Melaka Tahun 1445H/ 2024M, Zakat Mata Wang Kripto Dan Aset Digital Serta Kaedah Pentaksirannya dan Penentuan Hukum Memakan Daging Kultur (Cultured Meat) Menurut Perspektif Islam dan Sains.