MASJID TANAH, 14 Oktober – Program Mufti Bersama Ummah Sempena Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1444H/2022M anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka kali ini telah diadakan bertempat di Masjid Al Sultan Abdullah, Masjid Tanah,Melaka.
Majlis dimulakan dengan Majlis Tahnik yang telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil;Mufti Kerajaan Negeri Melaka yang berkesempatan melakukan tahnik kepada beberapa orang bayi.
Selepas solat maghrib, majlis diteruskan dengan program bual bicara yang membawa tajuk diskusi “Menyingkap Ibrah Maulidur Rasul” yang berbentuk forum yang menampilkan Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Dato’ Dr. Hj Anhar bin Haji Opir; Mufti Kerajaan Negeri Selangor sebagai panel dan YBhg.Ustaz Huzailan bin Hamzah sebagai moderator.
Intipati forum yang berlangsung selama dua jam itu, antara lain adalah bagi memupuk masyarakat agar mengambil iktibar dan memperingati sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan pengajaran dan pengorbanan bermati-matian demi menegakkan agama Islam di bumi Allah SWT serta mengenali dan mengetahui peribadi Nabi Muhammad SAW sehingga dapat mengaplikasikannya ke dalam kehidupan seharian sebagai seorang muslim.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka; Datuk Seri Utama Hj.Sulaiman Md Ali merasmikan serta mengimarahkan majlis ilmu berkenaan.