DUYONG, 4 Oktober – Program Mufti Bersama Ummah Sempena Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1444H/2022M anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah diadakan bertempat di Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, Duyong.
Program bual bicara yang membawa tajuk diskusi “Menyingkap Ibrah Maulidur Rasul” yang berbentuk forum itu menampilkan Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Sri Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Osman; Mufti Kerajaan Negeri Pahang sebagai panel dan YBhg.Datuk Hj.Rahimin Bin Bani sebagai moderator.
Inti pati forum selama dua jam itu, antara lain adalah memupuk masyarakat supaya menanam sifat kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. .Ahli panel forum juga menyarankan supaya umat Islam perlu bersatu dan saling kasih-mengasihi serta menjadikan akhlak mulia Nabi Muhammad S.A.W sebagai panduan dalam menyatupadukan ummah.
Selepas forum, para jemaah berselawat serta Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil berkesempatan menyukur jambul beberapa orang bayi.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengimarahkan majlis ilmu berkenaan.