POKOK MANGGA, 26 Ogos – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka telah menganjurkan Program Bicara Mufti bermula pukul 6.00 petang bertempat di Masjid Al-Ukhwah, Kampung Padang, Pokok Mangga, Melaka petang tadi.
Terdahulu Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Ukhwah berkesempatan menyantuni tiga orang Mantan Pegawai Syarak Masjid Al Ukhwah melalui Program Ziarah Kasih yang telah diadakan.
Selepas solat maghrib secara berjemaah, forum bual bicara yang telah dikendalikan oleh Ustaz Shahril Asraf bin Datuk Haji Azmi ,Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Melaka selaku moderator telah menampilkan dua tokoh hebat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Tuan Haji Muhammad Fitri bin Abdullah, Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan selaku panel bagi forum berkenaan.
“Perpaduan Teras Malaysia Madani” menjadi tema bagi forum yang berlangsung selama dua jam itu . Antara inti pati forum berkenaan adalah memupuk rasa kasih sayang dan kebersamaan agar kekuatan ikatan persaudaraan antara umat Islam mampu mewujudkan rasa hormat oleh masyarakat lain terhadap Islam sekaligus membentuk perpaduan ummah yang sejahtera.
Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Melaka dan Pusat Zakat Melaka turut membuka kaunter khidmat pelanggan bagi para jemaah yang hadir memeriahkan program berkenaan.