TG.BIDARA, 19 Ogos – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Institut Latihan Keselamatan Angkatan Tentera (INSAN) Kem Terendak Melaka telah menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana Program Jiwa Murni Di Kampung Balik Batu yang telah diadakan di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara pada pukul 8.30 pagi.
Program ini buat julung kalinya, melibatkan penyertaan hampir 450 orang terdiri daripada anggota Tentera (INSAN) Kem Terendak Melaka, warga kerja Jabatan Mufti Negeri Melaka, Majlis Perbandaran Alor Gajah, JPKK Kampung Balik Batu, pelajar SMA Tahfiz (JAIM) Al-Abqari dan penduduk Kampung Balik Batu.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil,Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Brigedier Jeneral Dato’ Amran bin Amir Amzah, Pegawai Memerintah 94 Hospital Angkatan Tentera dan Kol (Dr) Lutfi bin Anuar, Komandan Institut Latihan Keselamatan Angkatan Tentera (INSAN) menanam anak pokok sebagai simbolik perasmian Program Gotong-Royong Perdana Program Jiwa Murni Di Kampung Balik Batu,Tanjung Bidara.
Program gotong-royong ini memfokuskan kepada persekitaran Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara iaitu di Surau Kampung Balik Batu, Tanah Perkuburan Islam Kampung Balik Batu dan Ayer Hitam, Persisiran Pantai Tanjung Bidara dan sekitar Jalan Utama.
Para peserta secara berkumpulan diagihkan mengikut kawasan serta diberikan peralatan bersesuaian. Sepanjang program ini berlangsung, para peserta telah bekerjasama mencantas, memotong serta membersihkan tumbuh-tumbuhan liar, ranting dan dahan yang mati serta membantu melupuskan sisa-sisa pepejal yang tidak diperlukan.
Selain gotong-royong, turut diadakan Kursus Jenazah, Pemeriksaan Kesihatan serta Kaedah melakukan bantuan kecemasan turut di sediakan oleh pihak Tentera (INSAN) Kem Terendak Melaka.
Program gotong-royong ini turut memberi impak positif kepada peserta kerana selain menjadi aktiviti fizikal yang menyihatkan tubuh badan, program ini turut memberi pendedahan supaya menghargai keindahan serta kepentingan memelihara alam sekitar agar sentiasa dalam keadaan harmoni dan sihat.
Turut hadir Tuan.Haji Abdul Aziz Bin Baba, Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka mewakili Ketua Menteri Melaka dan Tuan Haji Babron bin Ehsan, Pengerusi JPKK Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.