BUKIT PALAH, 14 Disember – Pagi tadi berlangsungnya Program Peningkatan Ilmu Imam Surau Solat Jumaat Sementara (Covid 19) Peringkat Negeri Melaka Bil.1/2021 anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka yang telah diadakan di Auditorium Masjid Al-Azhim, Bukit Palah, Melaka.
Seramai 150 orang peserta yang hadir terdiri dari kalangan imam dan ahli jawatankuasa surau seluruh Negeri Melaka yang diberi kebenaran melaksanakan solat Jumaat sementara dalam tempoh penularan wabak covid 19. Kursus ini dilaksanakan bagi memantapkan kefahaman serta meyakinkan para peserta khususnya calon imam untik mengimamkan solat Jumaat di surau-surau yang telah diberi kebenaran.
Kursus tersebut menampilkan penceramah hebat iaitu YBhg Datuk Haji Mohammad bin Hashim; Imam Besar Masjid Al-Azhim Melaka yang telah menerangkan berkaitan “Kesempurnaan Ibadah Solat”. Manakala pada slot kedua pula bertajuk” Pengukuhan Aqidah Menyatukan Ummah” telah disampaikan oleh YBhg Ustaz Ahmad Fahim bin Hj Robani; Pensyarah Fakulti Aplikasi dan Komunikasi (FAC) Universiti Multimedia Ayer Keroh.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka dalam ucapannya berkata beliau berharap agar kesemua surau yang telah di beri kebenaran solat Jumaat dapat menjalankan amanah yang telah diberikan dengan baik . Beliau juga berharap dengan kebenaran yang telah diberikan ini, umat islam di Negeri Melaka dapat memenuhi dan menghadirkan diri ke masjid dan surau bagi menunaikan solat Jumaat.
Kursus ini telah diadakan dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan berhubung kawalan penularan wabak penyakit Covid-19.