MAJLIS PERARAKAN SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1444H/2022M PERINGKAT NEGERI MELAKA
BUKIT SERINDIT, 9 Oktober – Kontinjen Jabatan Mufti Negeri Melaka hari ini menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022M Peringkat Negeri Melaka dengan kekuatan kontinjen seramai 30 orang. Perarakan sejauh empat kilometer itu bermula dari Stadium Fatimah Bukit Serindit, kira-kira jam 8 pagi berakhir di Dataran Masjid Al-Azim, Bukit Palah pada jam 10.30 pagi.
Majlis perarakan tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr) Hj.Mohd Ali Bin Mohd Rustam. Setelah itu, Tuan Yang Terutama Tun bersama Ketua Menteri Melaka, YAB Seri Utama Datuk Sulaiman Bin Md Ali, bersama EXCO Kerajaan Negeri serta ketua jabatan berarak mengetuai perarakan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan pelajar sekolah di negeri ini.
- Published in Berita
MUFTI BERSAMA UMMAH SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL MASJID AS SALIHIN PAYA RUMPUT MELAKA
PAYA RUMPUT, 6 Oktober – Program Mufti Bersama Ummah Sempena Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1444H/2022M anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah diadakan bertempat di Masjid As Salihin Paya Rumput Melaka.
Program dimulakan dengan bacaan yassin dan solat maghrib secara berjemaah. Setelah itu, program diteruskan dengan alunan Qasidah oleh Sayed Arsyid bin Sayed Yasin daripada kumpulan Qasidah Nasrullah.
Program bual bicara yang membawa tajuk diskusi “Sambutan Maulid Nabi Pemangkin Kekuatan Ummah” yang berbentuk forum itu menampilkan Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, YBhg.Datuk Hj.Rahimin Bin Bani, Al-Habib Hamid Naufal bin Alwy Al Kaff, As Sayyid Syed Muhammad Bagir bin Haron Al Gadri sebagai panel dan Al-Fadhil Ustaz Hj Faisal bin Ahmad sebagai moderator.
Selepas forum, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil berkesempatan merasmikan pelancaran Kitab Muktasar Sirah Nabi.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Hj Rais bin Datuk Wira Yasin mengimarahkan majlis ilmu berkenaan.
- Published in Berita
MUFTI BERSAMA UMMAH SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL MASJID JAMEK LAKSAMANA HANG TUAH DUYONG
DUYONG, 4 Oktober – Program Mufti Bersama Ummah Sempena Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1444H/2022M anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah diadakan bertempat di Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, Duyong.
Program bual bicara yang membawa tajuk diskusi “Menyingkap Ibrah Maulidur Rasul” yang berbentuk forum itu menampilkan Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Sri Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Osman; Mufti Kerajaan Negeri Pahang sebagai panel dan YBhg.Datuk Hj.Rahimin Bin Bani sebagai moderator.
Inti pati forum selama dua jam itu, antara lain adalah memupuk masyarakat supaya menanam sifat kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. .Ahli panel forum juga menyarankan supaya umat Islam perlu bersatu dan saling kasih-mengasihi serta menjadikan akhlak mulia Nabi Muhammad S.A.W sebagai panduan dalam menyatupadukan ummah.
Selepas forum, para jemaah berselawat serta Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil berkesempatan menyukur jambul beberapa orang bayi.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengimarahkan majlis ilmu berkenaan.
- Published in Berita
LAWATAN KE PULAU BESAR BERSAMA DELEGASI DARI JABATAN MUFTI NEGERI PAHANG
TELOK MAS, 4 Oktober – Hari ini Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama delegasi dari Jabatan Mufti Negeri Pahang mengadakan lawatan ke Pulau Besar, Melaka.
Lawatan yang diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka dan Dato Seri Dr Haji Abdul Rahman Osman; Mufti Kerajaan Negeri Pahang bersama beberapa pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Pahang bergerak ke Pulau Besar dengan menaiki bot bermula dari jeti Parameswara Umbai.
Tiba di pulau delegasi diberi taklimat berkaitan isu pemujaan dan khurafat yang pernah berlaku di Pulau Besar, Melaka dimana pulau tersebut sering dikaitkan dengan aktiviti pemujaan yang menjadi tumpuan oleh kumpulan ajaran sesat.
Delegasi Jabatan Mufti Negeri Pahang juga dibawa melawat beberapa lokasi yang dijadikan tempat pemujaan dan aktiviti khurafat yang telah dihapuskan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka.
- Published in Berita
KUNJUNGAN HORMAT DARI DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI PAHANG
TG.BIDARA, 03 Oktober – Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil menerima kunjungan hormat dari Delegasi Jabatan Mufti Negeri Pahang di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Kunjungan Jabatan Mufti Negeri Pahang ini diketuai oleh Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Osman; Mufti Kerajaan Negeri Pahang serta beberapa pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Pahang.
Delegasi dari Jabatan Mufti Negeri Pahang diberi kesempatan melawat beberapa kemudahan di Kompleks Falak Al-Khawarizmi seperti Balai Cerap Al-Khawarizmi dan Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi.
Kunjungan dari Jabatan Mufti Negeri Pahang ini merangkumi Lawatan Hormat kepada Pejabat Mufti Negeri Melaka serta membuat kajian pemeliharaan akidah berkaitan khurafat di Pulau Besar.
Delegasi ini juga di bawa menikmati pemandangan indah sepanjang Sungai Melaka dengan menaiki bot river cruise yang merupakan salah satu produk pelancongan di Negeri Melaka.
- Published in Berita
KURSUS CALON PEGAWAI SYARAK NEGERI MELAKA BIL.2 2022
TG.BIDARA, 29 September– Hari ini merupakan hari terakhir Kursus Peningkatan Ilmu bagi Calon Pegawai Syarak Bil.2 bagi tahun 2022 yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka bermula pada 27, 28 & 29 September 2022 bertempat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Kursus tersebut telah dihadiri seramai 40 orang calon bagi persediaan kepada calon-calon Pegawai Syarak yang akan ditemuduga. Para peserta terdiri daripada calon imam, bilal dan noja serta pengurus jenazah wanita dari setiap masjid di Negeri Melaka.
Para peserta hari ini diberi pengetahuan tentang ilmu fiqah seperti cara laungan azan serta tahsin Al-Quran yang bertajwid juga turut diberikan penekanan oleh Datuk Hj. Muhammad bin Hashim.
Terdapat beberapa modul kursus yang telah disediakan sepanjang kursus tersebut antaranya ialah ilmu yang meliputi asas fardhu ain dan fardhu kifayah sebagai persediaan kepada calon pegawai syarak yang akan ditemuduga. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Sahibul Fadhilah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin; Timbalan Mufti Negeri Melaka yang telah menyampaikan sijil penyertaan kepada calon-calon Pegawai Syarak yang terlibat.
- Published in Berita
HARI KEDUA KURSUS PEGAWAI SYARAK BIL.2/2022
TG. BIDARA,28 September – Hari ini berlansungnya hari kedua Kursus Pegawai Syarak anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka bertempat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Para calon yang hadir hari ini telah di beri pengetahuan berkenaan Akhlak & Tasawuf yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Haneef Bin Zin, Akidah Islam oleh Dr Mohamad Nadzli Bin Omar & Pengurusan Taharah oleh Ustaz Shahrir Asraf bin Hj.Azmi.
- Published in Berita
HARI PERTAMA KURSUS PEGAWAI SYARAK BAGI TAHUN BIL.2/2022
TG.BIDARA, 27 September – Hari ini merupakan hari pertama berlangsungnya Kursus Pegawai Syarak Bagi Tahun 2022 anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka yang berlangsung di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Kursus yang diadakan selama tiga hari ini, memberi peluang kepada calon-calon pegawai syarak yang terdiri dari calon imam, bilal, noja dan pengurus jenazah wanita sebagai persiapan untuk menambah pengetahuan bagi menghadapi temuduga untuk menjadi Pegawai Syarak nanti.
Hari ini para calon di beri pengetahuan berkenaan Sembelihan, Korban & Aqiqah oleh Ustaz Muhammad Khidir bin Bahari, Munakahat oleh Ustaz Mohd Shokri bin Mustaffa & Pengurusan Jenazah telah disampaikan oleh Ustaz Hamidi bin Hj Omar.
- Published in Berita
MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI MELAKA BIL.3/2022
AYER KEROH, 26 September – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil.3/2022 yang telah dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Hj Abdul Halim bin Tawil, telah berlangsung di Hotel Ames, Ayer Keroh, Melaka hari ini. Mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan berkenaan isu-isu kefatwaan dan isu-isu keagamaan semasa di Negeri Melaka.
Mesyuarat ini dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka serta pegawai-pegawai Majlis Agama Islam Negeri Melaka dan Jabatan Agama Islam Negeri Melaka.
- Published in Berita
LAWATAN KERJA DARI DELEGASI UNIVERSITAS ISLAM NEGERI (UIN) MAULANA MALIK IBRAHIM MALANG, INDONESIA BERSAMA UITM CAWANGAN MELAKA DI KOMPLEKS FALAK AL-KHAWARIZMI
TG.BIDARA, 15 September – Jabatan Mufti Negeri Melaka hari ini menerima kunjungan hormat dari Delegasi Universitas Islam Negeri (UIN) Maulana Malik Ibrahim Malang, Indonesia Bersama UiTM Cawangan Melaka Di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Kunjungan delegasi dari Indonesia ini diketuai oleh Dr Mohd Zaid Mustafar; Ketua Pegawai Pengiring UiTM Cawangan Melaka serta beberapa pegawai-pegawai dan pelajar-pelajar dari Universitas Islam Negeri (UIN) Maulana Malik Ibrahim Malang, Indonesia.
Delegasi ini juga telah dibawa melawat kemudahan yang yang ada seperti Balai Cerap, Planetarium dan Galeri Pameran Falak dan Astronomi di sini. Mereka juga turut diberi penerangan berkenaan operasi dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di kompleks ini.
- Published in Berita