IJTIMAK MURABBI PEMEGANG TAULIAH NEGERI MELAKA SEMPENA KARNIVAL ISLAMIK ANTARABANGSA MELAKA TAHUN 2023
KRUBONG,28 Disember – Sempena Karnival Islamik Antarabangsa Peringkat Negeri Melaka (KIAM’23) Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Melaka bersama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah mengadakan Ijtimak Murabbi Pemegang Tauliah Negeri Melaka bertempat di Dewan Ballroom Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka.
Program dimulakan dengan pembentangan kertas kerja berkaitan “Perubahan Fatwa-Fatwa Mengikut Peredaran Zaman” yang telah disampaikan oleh Prof Madya Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim manakala bagi pembentangan kertas kerja kedua pula telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Hafiz bin Rozmizi berkaitan “Peranan Murabbi Dalam Memperkasakan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Fiqh As-Syafie Dan Tasawwuf Al-Ghazali Junayd Al-Bahgdadi.
Dalam pada itu, program ini turut diisi dengan Tausiyah yang telah disampaikan oleh Sheikh Muhammad bin Abd Aziz Al-Ghonim, Penasihat Am dan Ahli Lajnah Fatwa Al-Azhar, Tanta, Mesir.
YB Datuk Rahmad bin Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka telah merasmikan Program Ijtimak Murabbi Pemegang Tauliah Negeri Melaka dan berkesempatan menyampaikan Sijil Pemegang Tauliah Agama & Al-Quran Negeri Melaka diiringi Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka kepada 100 orang penerima tauliah yang hadir.
- Published in Berita
KUNJUNGAN HORMAT YB DATUK MOHD HELMY BIN ABDUL HALEM KE PEJABAT MUFTI NEGERI MELAKA
BUKIT PALAH, 21 Disember – Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil pagi tadi menerima kunjungan hormat dari YB Datuk Mohd Helmy Bin Abdul Halem, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Teknologi Digital di Pejabat Mufti Negeri Melaka di Pejabat Mufti Negeri Melaka.
Kunjungan hormat tersebut turut memberi ruang bagi kedua-dua belah pihak membincangkan mengenai sempadan kariah di kawasan duyong serta berkaitan tatacara tadbir urus masjid.
- Published in Berita
PROGRAM BICARA MUFTI MASJID TANJUNG BIDARA, MASJID TANAH
TG.BIDARA, 18 Disember – Masjid Tanjung Bidara menjadi Masjid pilihan kali ini bagi Program Bicara Mufti anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka.
Program Bicara Mufti ini menjadi medium kepada Jabatan Mufti Negeri Melaka untuk mendekatkan masyarakat dari dalam dan luar bandar bagi menyampaikan informasi terkini berkaitan hal ehwal Islam khususnya isu-isu kefatwaan semasa.
Selaras dengan tajuk forum berkonsepkan bual bicara kali ini bertajuk “ISU-ISU KEFATWAAAN SEMASA” telah menampilkan barisan panel kehormat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, YBhg Dr Mohd Nadzli bin Haji Omar; Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan YBhg Ustaz Mohd Nidzar Bin Nor Mohamd; Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka selaku moderator.
Dalam sesi bual bicara yang berlangsung selama dua jam itu, barisan panel berkongsi serta memberi pencerahan berkaitan proses mengeluarkan sesuatu fatwa sehingga ia diwartakan bagi Kerajaan Negeri Melaka, Isu-Isu Fahaman Ajaran Sesat dan Tajdid Dalam Fatwa Supaya Institusi Kefatwaan Terus Kekal Relevan.
- Published in Berita
PROGRAM BICARA MUFTI MASJID IBADUR RAHMAN, TANGGA BATU, MELAKA
TANGGA BATU, 15 Disember – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Melaka bersama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah mengadakan Program Bicara Mufti Peringkat Masjid Ibadur Rahman, Tangga Batu, Melaka semalam.
Program bual bicara berbentuk forum bertajuk ini telah menggandingkan dua orang tokoh hebat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Yang Arif Tuan Haji Shukeri Najib bin Ab Rahim, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan Ustaz Murad bin Ahmad, Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Melaka selaku moderator.
Forum bual bicara ini menjadi medium Jabatan Mufti Negeri Melaka menyalurkan maklumat berkenaan Isu-Isu Kefatwaan Semasa serta menerangkan kepada orang awam berkaitan fatwa-fatwa yang telah diwartakan di dalam Negeri Melaka khususnya.
Program ini telah dihadiri seramai 200 orang terdiri dari penduduk berhampiran yang hadir mengimarahkan majlis ilmu tersebut.
- Published in Berita
MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI MELAKA BIL.3/2023
KUALA LUMPUR, 21 November – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil.3/2023 telah bersidang pada 19 November 2023 sehingga 21 November 2023 bertempat di Tamu Hotel & Suites, Kampung Bharu, Kuala Lumpur.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang menjadi medium perbincangan dan penyelidikan kepada ahli-ahli mesyuarat berkenaan hukum bagi isu-isu yang diutarakan oleh pihak yang memerlukan keputusan dan penjelasan hukum.
Pembentangan kertas kerja kali ini telah dibentang dan diberi penerangan oleh pelbagai agensi antaranya Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Agama Islam Negeri Melaka, Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Pusat Zakat Negeri Melaka, Lembaga Zakat Selangor dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.
Antara pembentangan kertas kerja yang dibentangkan berkaitan Penetapan Kadar Zakat Fitrah di Negeri Melaka Tahun 1445H/ 2024M, Zakat Mata Wang Kripto Dan Aset Digital Serta Kaedah Pentaksirannya dan Penentuan Hukum Memakan Daging Kultur (Cultured Meat) Menurut Perspektif Islam dan Sains.
- Published in Berita
KUNJUNGAN HORMAT JABATAN MUFTI NEGERI MELAKA KEPADA PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
PUTRAJAYA, 21 Nov – Delegasi Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah mengadakan kunjungan hormat serta ziarah mahabbah kepada Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Putrajaya.
Kunjungan hormat ini disambut mesra oleh Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan bersama pegawai-pegawai dan warga kerja Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu juga, pertemuan ini turut memberi ruang kepada kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pendapat serta menjalinkan kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di dalam institusi kefatwaan dan pentadbiran islam.
- Published in Berita
KURSUS PEMANTAPAN IMAM NEGERI MELAKA BAGI TAHUN 2023
TG.BIDARA, 16 November – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah menganjurkan Kursus Imam bagi Surau-Surau yang telah diberi kebenaran khas mengadakan Solat Jumaat di Negeri Melaka bertempat di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara Melaka.
Antara pengisian ceramah yang disampaikan dalam kursus yang berlangsung sehari ini, para peserta yang hadir diberi pendedahan dan penerangan oleh Datuk Muhammad bin Hashim, Imam Besar Masjid Negeri Melaka berkaitan Ciri-Ciri Seorang Pegawai Syarak(Imam), Rukun Qauli & Amali Solat , Persediaan Khatib dan Teknik Penyampaian Khutbah.
Objektif utama kursus ini bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta mengenai tugas dan tanggungjawab seorang imam dalam aspek pengurusan masjid serta meningkatkan sahsiah diri imam dan melahirkan imam yang profesional dalam melaksanakan tugasannya.
Kursus yang dihadiri seramai 70 orang terdiri daripada imam-imam di Negeri Melaka itu, telah dirasmikan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka yang juga berkesempatan menyampaikan sijil kepada peserta yang hadir.
- Published in Berita
SEMINAR KESEDARAN DAN ADVOKASI PENIPUAN PAKEJ UMRAH
TG.BIDARA, 2 November – Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah menganjurkan Seminar Kesedaran Dan Advokasi Penipuan Pakej Umrah yang telah diadakan bertempat di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Seminar dimulakan dengan ceramah bertajuk “Jerat Tidak Pernah Melupakan Pelanduk” yang telah disampaikan oleh Ustaz Yus Mahadi bin Yusoff, Penolong Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) berkenaan kesedaran kepada masyarakat agar tidak tertipu dengan penawaran Pakej Badal Haji dan Umrah daripada syarikat yang tidak bertauliah dan meragukan.
Seminar kemudian diteruskan dengan diskusi bertajuk berbentuk forum yang menampilkan ASP Mohd Saadon bin Sabrin, Pegawai Penyiasat Jenayah Pelaburan Bersindiket dan Lain-lain Jenayah JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Prof.Dr.Nuraisyah Chua binti Abdullah, Profesor Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan Ustaz Murad bin Amat, Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Melaka sebagai moderator.
Seminar yang dihadiri seramai 250 orang itu bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran terhadap para peserta mengenai aktiviti penipuan pakej umrah dan menyediakan sumber maklumat yang tepat dan sahih bagi menangani isu penipuan pakej umrah yang berleluasa di kalangan masyarakat kini.
Seminar itu telah dirasmikan oleh YB Datuk Rahmad bin Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka.
- Published in Berita
PROGRAM BICARA MUFTI MASJID AR RAUDHAH, PADANG TEMU
PADANG TEMU, 31 Oktober – Telah berlangsungnya Program Bicara Mufti anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah diadakan bertempat di Masjid Ar Raudhah, Padang Temu, Melaka.
Kepentingan fatwa dalam melayari kehidupan jelas dapat dizahirkan dengan pelaksanaan atau perjalanan syariat Islamiyah.Fatwa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan undang-undang islam atau hukum syarak.
Selaras dengan tajuk forum kali ini “Peranan Fatwa” telah menampilkan dua orang panel hebat seperti Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin,Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Datuk Muhammad bin Hashim, Imam Besar Masji Negeri Melaka serta Ustaz Mohd Nidzar bin Nor Mohamd, Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka selaku moderator.
Inti pati forum berbentuk bual bicara itu antara lain memberi penerangan kepada jemaah yang hadir berkaitan peranan fatwa dalam menyelesaikan permasalahan ummah dan menyatukan masyarakat supaya lebih berlapang dada dan menerima fatwa sebagai sumber ilmu dan hukum syarak.
Selepas forum, Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada 3 orang mantan Pegawai Syarak Masjid Ar Raudhah, Padang Temu, Melaka.
- Published in Berita
PROGRAM BICARA MUFTI MASJID AL-MUHSININ MELEKEK LUAR, ALOR GAJAH, MELAKA
ALOR GAJAH, 16 Oktober – Lebih 300 orang telah menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M sejauh 1.2 kilometer sempena Program Bicara Mufti yang telah diadakn di Masjid Al-Muhsinin, Alor Gajah, Melaka.
Selesai solat maghrib berjemaah program diteruskan dengan program bual bicara berbentuk forum yang menampilkan barisan panel kehormat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, YBhg Ustaz Harryanto Rizal bin Rokman, Penceramah Selebriti dan Al-Fadhil Ustaz Shahrir Asraf bin Datuk Haji Azmi, Pembantu Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Melaka selaku moderator.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, YB Haji Zulkiflee bin Datuk Seri Mohd Zin yang juga Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana bersama penduduk kampung berhampiran yang hadir mengimarahkan forum bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani” berkenaan.
- Published in Berita