BENGKEL PENYEDIAAN TAKWIM & WAKTU SOLAT NEGERI MELAKA BAGI TAHUN 1445H/2023M-2024M
MELAKA TENGAH, 30 Mac – Menerusi Bahagian Falak Syari’e Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah mengadakan Bengkel Penyediaan Takwim & Waktu Solat Negeri Melaka Bagi Tahun 1445H/2023M-2024M yang telah berlangsung di Hotel La Crista, Melaka.
Kursus yang berlangsung selama dua hari ini telah disertai seramai 30 orang yang terdiri daripada Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Melaka, Pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan Melaka dan Ahli Jawatankuasa Rukyah Negeri Melaka.
Para peserta diberi pendedahan berkenaan Pelaksanaan Ilmu Falak Dalam Konteks Takwim & Waktu Solat, Perubahan Kriteria Imkan Al-Rukyah 2021 terhadap Takwim di Malaysia dan Kaedah Pengiraan Takwim & Waktu Solat Negeri Melaka yang telah disampaikan oleh En. Ahmad Taufan bin Abdul Rashid dari Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).
Datuk Wira Haji Md. Rawi bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka merasmikan bengkel berkenaan dalam ucapan perasmiannya berkata: “Beliau berharap agar bengkel yang diadakan dapat memberi pendedahan kepada peserta dalam menyediakan data-data waktu solat dan menyusun takwim hijri bagi tahun 1445H/2023M-2024M di samping mendapat ilmu tambahan dalam kaedah pengiraan takwim dan waktu solat”.
Dalam pada itu, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Datuk Wira Haji Md. Rawi bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka berkesempatan menyantuni para peserta menerusi Majlis Berbuka Puasa bersama para peserta bengkel berkenaan.
- Published in Berita
PERHIMPUNAN BULANAN AGENSI AGAMA ISLAM NEGERI MELAKA BIL.2/2023
BUKIT PALAH, 28 Mac – Buat julung kali bagi tahun 2023, Perhimpunan Bulanan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bil.2/2023 yang telah dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka telah diadakan di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah,Melaka pagi tadi.
Perhimpunan dimulakan dengan sesi “Executive Talk” menerusi tajuk “Pemerkasaan Penyampaian Perkhidmatan Pengurusan Islam Dalam Merealisasikan Malaysia Madani” yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Wan Mohamad bin Dato Sheikh Abdul Aziz, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Perhimpunan kali ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Wira Haji Md.Rawi bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Melaka dalam ucapannya berkata: “Beliau menyarankan agar semua warga Agensi Agama Islam Negeri Melaka terus mengekalkan semangat kekeluargaan di samping menjaga disiplin serta menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab sebagai Penjawat Awam“.
Seterusnya, YBhg. Datuk Wira Haji Md.Rawi bin Mahmud, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Melaka diiringi Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah menyampaikan Pertukaran Perjanjian Pajakan Tanah & Kompleks Falak Al-Khawarizmi diantara Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka, Pertukaran Perjanjian Sebahagian Sewaan Bangunan diantara Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Jabatan Agama Islam Negeri Melaka, Penyerahan Dokumen Sighah Persempadanan Kariah Masjid Negeri Melaka, Anugerah Pekerja Cemerlang Peringkat Jabatan dan Anugerah Pekerja Cemerlang Peringkat Negeri Melaka.
Perhimpunan ini turut dihadiri oleh 300 orang penjawat awam termasuk Ketua Jabatan dan agensi di bawah Agensi Agama Islam Negeri Melaka.
- Published in Berita
PROGRAM DAURAH KITAB HURAIAN “AL-WARAQAT FI USUL AL-FIQH”
KG. HULU, 16 Mac – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menganjurkan Program Daurah Kitab Huraian “Al-Waraqat Fi Usul Al-Fiqh” yang telah diadakan bertempat di Hotel Cara Hulu, Kompleks Kampung Hulu, Melaka.
Program yang berlangsung selama satu hari ini telah menampilkan YBhg. Ustaz Ahmad Fauwaz bin Ali@Fadzil, Penceramah Bebas yang telah memimpin pengajian Kitab Huraian ” Al-Waraqat Fi Usul Al-Fiqh” sebuah kitab Menerangkan tentang 4 tajuk besar iaitu Dalil, Cara Beristidlal, Orang Yang Berkelayakan Untuk Berhujah (Al Mujtahid) dan Natijah (Hukum-Hukum Syarak).
Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka Majlis telah menyempurnakan perasmian penutup dan telah menyampaikan Sijil Tauliah Agama & Al-Qur’an kepada 30 orang penerima.
Para peserta yang hadir terdiri dari Guru Halaqah Negeri Melaka, Guru Takmir Negeri Melaka, Pemegang Tauliah Agama Negeri Melaka dan Anggota Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) dan orang awam.
- Published in Berita
KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI JABATAN MUFTI NEGERI MELAKA KEPADA PANGLIMA DIVISYEN KETIGA INFANTRI
SG. UDANG, 14 Mac – Delegasi dari Jabatan Mufti Negeri Melaka diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Pegawai-Pegawai Jabatan Mufti Negeri Melaka telah berkunjung kepada Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi bin Ab Rashid di Pejabat Panglima, Markas Divisyen Ketiga Infantri Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka.
Kunjungan hormat ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala di antara Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia yang telah sedia wujud di antara kedua-dua pihak ini.
Kunjungan ini juga turut memberi ruang bagi kedua-dua belah pihak untuk saling bertukar-tukar pendapat serta membincangkan isu-isu yang berkaitan.
Dalam pada itu, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil dan seluruh warga kerja di Jabatan Mufti Negeri Melaka mengucapkan sekalung tahniah kepada Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi bin Ab Rashid yang baru memulakan tugas di Pejabat Panglima, Markas Divisyen Ketiga Infantri Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka.
- Published in Berita
PROGRAM BICARA MUFTI SURAU AL-MUBARAK, TAMAN KESIDANG
LORONG PANDAN, 9 Mac – Telah berlangsungnya Forum Bicara Mufti yang bertajuk “Hidayah Milik Allah” anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka bertempat di Surau Al-Mubarak, Taman Kesidang,Seksyen 2, Lorong Pandan,Melaka.
Ahli panel terdiri daripada Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka; YBhg. Ustaz Muhammad Fitri bin Abdullah, Naib Pengerusi Perkim Kebangsaan dan YBhg. Mohammad Hafizi bin Abd. Kadir, Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAIM) selaku moderator forum tersebut.
Forum Bicara Mufti kali ini, memberi perkongsian tentang perjalanan dan pengalaman dalam mencari Hidayah Allah serta memberi kupasan mengenai Hidayah adalah petunjuk Allah yang dianugerahkan kepada hambanya.
Selepas forum, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada beberapa orang Mualaf dan menyampaikan Sijil Penghargaan daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka kepada Pengerusi Surau Al-Mubarak yang telah menjayakan Program Bicara Mufti kali ini.
- Published in Berita
KUNJUNGAN HORMAT PEGAWAI DARI JABATAN PEGUAM NEGARA KE PEJABAT MUFTI NEGERI MELAKA
BUKIT PALAH, 9 Mac – Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka hari ini menerima kunjungan hormat Pegawai dari Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang (BSPUU) Jabatan Peguam Negara di Pejabat Mufti Negeri Melaka.
Delegasi yang diketuai oleh Dato’ Anas bin Ahmad Zakie ini disambut mesra oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Mufti dan Timbalan Mufti Negeri Melaka; Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin.
Pertemuan dua hala ini bertujuan menjalinkan dan memperkukuhkan kerjasama strategik di antara Pejabat Mufti Negeri Melaka dan Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang (BSPUU) Jabatan Peguam Negara serta turut memberi ruang kepada kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pendapat serta membincangkan isu-isu berkenaan pentadbiran dan perundangan Syariah.
- Published in Berita