Pertandingan Sukan Indoor (Boling)
AYER KEROH, 09 Jun 2023 – Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Mufti Negeri Melaka (SUKMI) telah menganjurkan Pertandingan Sukan Indoor (Boling) pada 9 Jun 2023 jam 5.00 petang bertempat di Melaka International Bowling Centre (MIBC). Pertandingan ini telah mendapat sambutan yang sangat baik dari semua ahli kelab SUKMI. Seramai 22 orang telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini, 13 lelaki dan 9 wanita.
Ketua Biro Rehlah dan Riadah, En Mohd Rahmat bin Ramli bersama ahli jawatankuasa yang lain telah mengaturkan segala persiapan bagi pertandingan ini. Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu Individu Lelaki dan Individu Wanita. Setiap peserta perlu bermain sebanyak 3 frame.
Johan bagi kategori individu lelaki telah dimenangi oleh Ustaz Haji Jasmi bin Haji Rasaf, Naib Johan dimenangi oleh En Mohd Rahmat bin Ramli, manakala tempat ketiga dimenangi oleh En Mohd Redha bin Abd Latif.
Bagi kategori individu wanita pula, Johan telah dimenangi oleh Ustazah Munaliza binti Husin, Naib Johan dimenangi oleh Puan Maslinda binti Said, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Puan Nurul Najihah binti Md. Azwan.
Kesemua hadiah telah disampaikan oleh pengerusi kelab Sukmi iaitu Ustaz Mohd Nidzar bin Nor Mohamd. Selesai upacara majlis penyampaian hadiah, semua pemain bergambar bersama hadiah masing-masing.
Secara kesimpulannya, pertandingan ini dapat mengeratkan ukhuwahsesama ahli kelab selain dapat mengasah bakat bermain boling.
- Published in Kelab
Mesyuarat bil 1/2023 bagi Pelantikan Jawatankuasa dan Biro Tertinggi Kelab
TANJUNG BIDARA, 24 Mei 2023 – Kelab Sukan Dan Kebajikan JabatanMufti Negeri Melaka (SUKMI) telah mengadakan mesyuarat bil 1/2023bagi pelantikan jawatankuasa dan biro tertinggi kelab bagi penggal tahun 2023- 2025.
Tuan pengerusi memulakan mesyuarat dengan bacaan Ummul Kitab dan ucapan tahniah kepada jawatankuasa baru yang telah dipilih melalui undian pada 17 April 2023. Berikutan pelantikan jawatankuasa baru, ahli mesyuarat diberikan taklimat berkenaan perlembagaan kelab SUKMI bagi memastikan setiap ahli memahami setiap perkara di dalam perlembagaan.
Mesyuarat juga menyemak semula bentuk sumbangan yang diberikan kepada ahli dan beberapa perkara telah dipinda atas persetujuan semua ahli mesyuarat. Bagi bayaran yuran bulanan, mesyuarat bersetuju untuk membuat potongan gaji bulanan kepada ahli yang berdaftar dan akan dilaksanakan pada bulan jun 2023. Beberapa usul juga telah dibincagkan bersama untuk mengadakan aktiviti dalam kelab SUKMI. Mesyuarat diakhiri dengan penyerahan surat lantikan kepada semua jawatankuasa dan sesi bergambar.
- Published in Kelab
WACANA SEMASA : ISU AKIDAH DAN KESELAMATAN NEGARA
BUKIT BERUANG, 22 Jun -Cawangan Khas IPK Melaka bersama Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka telah menganjurkan Wacana Semasa : Isu Akidah & Keselamatan Negara buat julung kali pada 21 dan 22 Jun 2023 bertempat di Auditorium IPK Melaka.
Antara intipati kursus tersebut merangkumi Isu Sosial Semasa Yang Mampu Mempengaruhi Keselamatan & Kestabilan Negara, Ancaman Perkauman – Isu & Cabaran Semasa, Pemikiran Strategik Dalam Risikan dan Ajaran Sesat & Menyeleweng Yang Mengancam Akidah di Melaka.
Dalam pada itu, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyampaikan dan menerangkan kepada para peserta berkaitan ajaran sesat yang telah mengancam akidah di negeri ini.
Turut hadir YB Tuan Rosli bin Abdullah, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama telah menyempurnakan perasmian wacana tersebut seterusnya menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta yang terlibat.
Seramai 120 orang peserta hadiri terdiri dari Anggota Polis Diraja Malaysia, Kakitangan Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Pusat Zakat Negeri Melaka.
- Published in Berita
MAJLIS CERAPAN RASMI HILAL ZULHIJJAH 1444 H/2023 M
TG BIDARA, 18 Jun – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka bersama Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka telah mengadakan Cerapan Hilal Zulhijjah 1444H/2023M bertempat di Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka bermula jam 6.40 petang.
Kaedah yang digunapakai di Malaysia adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab dalam menentukan permulaan awal bulan Islam.
Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil telah mengetuai aktiviti mencerap kali ini bersama Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka, Sr Noor Helmy bin Noordin bersama Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka.
Hasil cerapan petang ini, hilal tidak kelihatan disebabkan faktor cuaca berawan dan tidak menepati kriteria Imkan Al-Rukyah di Balai Cerap Al- Khawarizmi, Tanjung Bidara.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil kemudiannya telah melaporkan kepada Pejabat Penyimpan Besar Mohor Raja-Raja berkaitan hasil cerapan pada petang tadi.
Maka, tarikh permulaan 1 Zulhijjah 1444H adalah jatuh pada 20 Jun 2023 M (Selasa). Oleh demikian tarikh bagi Hari Raya Aidiladha pada tahun ini jatuh pada 29 Jun 2023M bersamaan 10 Zulhijjah 1444 H iaitu pada hari Khamis.
- Published in Berita
KURSUS PENINGKATAN ILMU CALON PEGAWAI SYARAK NEGERI MELAKA BIL.2/2023
TG BIDARA, 11 Jun – Seramai 34 orang calon Pegawai Syarak Negeri Melaka terdiri dari Imam, Bilal, Noja dan Pengurus Jenazah Wanita hadir menyertai Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Syarak Negeri Melaka Bil.2/2023 bagi hari kedua bertempat di Dewan Hamal, Kompleks Falak Al- Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Kursus hari ini melibatkan tiga slot terdiri dari slot Azan,Iqamah & Solat yang telah disampaikan oleh Ustaz Habibullah bin Mohd Ghazali, slot Munakahat disampaikan oleh Ustaz Huzailan bin Hamzah manakala slot Pengurusan Taharah pula telah disampaikan oleh Ustaz Arif Ariffin bin Abu Bakar.
- Published in Berita
KURSUS PENINGKATAN ILMU CALON PEGAWAI SYARAK NEGERI MELAKA BIL.2/2023
TG.BIDARA, 10 Jun – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah menganjurkan Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Syarak Negeri Melaka Bil.2/2023 yang telah diadakan di Dewan Hamal, Komplek Falak Al-Khawarizmi selama 3 hari bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Tujuan utama kursus ini adalah sebagai medium pemantapan dan pendedahan ilmu kepada semua calon pegawai syarak terdiri dari calon Imam,Bilal, Noja dan Pengurus Jenazah Wanita di Negeri Melaka.
Para calon hari ini diberi pendedahan berkenaan Ilmu Tajwid yang telah disampaikan oleh Dr Muhammad Hafiz Bin Saleh, slot Akidah pula telah disampaikan oleh Dr Mohamad Nazli bin Omar manakala slot Pengurusan Jenazah telah disampaikan oleh Ustaz Habibullah bin Mohd Ghazali.
- Published in Berita
BICARA 2 MUFTI MASJID AL UMM BANDAR BARU BANGI SELANGOR
BANGI,2 Jun – Buat julung kalinya, Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menganjurkan Program Bicara 2 Mufti bertempat di Masjid Al Umm Bandar Baru Bangi, Selangor bermula jam 8.00 malam tadi.
Program bual bicara berbentuk forum ini telah menggandingkan dua orang tokoh hebat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka; Sahibus Samahah Dato’ Setia Prof Madya Dr Haji Anhar bin Opir, Mufti Diraja Negeri Selangor dan Prof Dato’ Dr Haji Abdul Halim bin Tamuri, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor selaku moderator.
Forum bertajuk “ Ibadah Haji & Korban” itu, telah dihadiri oleh lebih 200 orang jemaah terdiri dari penduduk berhampiran.
Dalam pada itu, para jemaah yang hadir turut berpeluang merasai pengalaman mencerap objek astronomi yang telah dikendalikan oleh Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Negeri Selangor.
- Published in Berita