PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI MELAKA BAGI TAHUN 1445H/2023M
DUYONG, 28 September – Perarakan seramai 6,547 peserta perarakan sempena Maulidur Rasul bagi tahun 2023 Masihi bersamaan 1445 Hijriah Peringkat Negeri Melaka bermula dari Stadium Tun Fatimah ke Dataran Pusat Islam Melaka terdiri daripada 128 kontinjen terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan termasuk swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Kontinjen daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka kali ini telah menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M Peringkat Negeri Melaka dengan kekuatan kontinjen seramai 35 orang.
Majlis perarakan tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka. Setelah itu, Tuan Yang Terutama Negeri Melaka bersama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad bin Mariman, bersama barisan EXCO Kerajaan Negeri Melaka serta Ketua Jabatan berarak mengetuai perarakan.
- Published in Berita
LAWATAN KOLEJ KOMUNITI KOTA MELAKA KE BALAI CERAP AL-KHAWARIZMI, TANJUNG BIDARA, MELAKA
TG.BIDARA, 25 September – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menerima lawatan daripada Kolej Komuniti Kota Melaka di Balai Cerap Al-Khawarizmi pada pukul 8.30 pagi.
Lawatan akademik ini telah disambut mesra oleh En.Nor Nazmi bin Razali, Pegawai Sains Jabatan Mufti Negeri Melaka. Lawatan akademik daripada Kolej Komuniti Kota Melaka ini telah di ketuai oleh En. Mohamad Farhan bin Rahman, Timbalan Pengarah Pengurusan Kolej Komuniti Kota Melaka bersama-sama Pensyarah dan para pelajar.
Lawatan akademik ini diadakan adalah untuk meningkatkan kefahaman ilmu berkenaan astronomi, mengenali proses pencerapan hilal yang dilaksanakan di Malaysia serta memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan teknologi-teknologi terkini dalam bidang astronomi.
Para pelajar juga diberi kesempatan merasai segala kemudahan yang ada di Balai Cerap Al-Khawarizmi seperti Galeri Interaktif, melihat tayangan berkaitan ilmu falak dan meninjau suasana di pelantar cerapan.
- Published in Berita
PROGRAM IJTIMAK PEMEGANG TAULIAH TAHUN 2023M/1445H
BUKIT PALAH, 21 September – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka telah menganjurkan Program Ijtimak Pemegang Tauliah Tahun 2023M/1445H bertempat di Auditorium Masjid Al-Azim pada pukul 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari.
Program dimulakan dengan ceramah bertajuk “Usluh Dakwah Kontemporari” yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan YBhg. Datuk Haji Rahimin bin Bani, AJK Fatwa Negeri Melaka & Presiden Biro Dakwah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Dalam slot ceramah ini, penceramah menggambarkan pada Pemegang Tauliah yang hadir berkenaan panduan dan cabaran pendakwah masa kini dalam menyampaikan dakwah pada masyarakat.
Dalam pada itu, penceramah bagi slot kedua iaitu YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff bin Mohd Kashim, Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyampaikan ceramah berkaitan Isu-Isu Kefatwaan Semasa.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah merasmikan program berkenaan dan telah berkesempatan menyampaikan Sijil Tauliah kepada 60 orang Pemegang Tauliah Agama & Al-Quran Negeri Melaka dan Surat Kebenaran Mengajar kepada 31 orang Guru Institusi Pendidikan Islam Swasta Negeri Melaka.
- Published in Berita