PROGRAM BICARA MUFTI SEMPENA ISTIDWA’ AD’ZAM & SAMBUTAN AWAL MUHARRAM 1445H PERINGKAT NEGERI MELAKA
BATU BERENDAM, 16 Julai – Istidwa’ Ad’zam merupakan fenomena apabila kedudukan matahari berada tepat di titik zenith kaabah.
Sempena fenomena tersebut Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka mengadakan Program Bicara Mufti Sempena Istidwa’ Ad’zam & Sambutan Awal Muharram 1445H Peringkat Negeri Melaka yang telah diadakan di Masjid An-Najihin, Taman Merdeka Jaya bermula pukul 4 petang.
Program dimulakan dengan Taklimat Ilmu Falak yang telah disampaikan oleh Dr. Haji Kassim bin Haji Bahali, Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka.
Para jemaah yang hadir turut berpeluang mempelajari kaedah bagi menentukan arah kiblat ketika Istidwa’ Ad’zam berlaku.
Kemudian, Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyantuni dan menziarahi beberapa orang ahli kariah Masjid tersebut.
Selepas solat maghrib berjemaah, program diteruskan dengan Forum Bicara Falak Sempena Awal Muharram 1445H yang menampilkan dua orang tokoh seperti Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Dr Haji Kassim bin Haji Bahali, Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka sebagai panel dan Ustaz Saifullah bin Dimyati, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka sebagai moderator.
- Published in Berita
KUNJUNGAN HORMAT KE ISTANA MELAKA BERSAMA DELEGASI TUAN GURU USTAZ ABDUL SOMAD
BUKIT BERUANG, 13 Julai – Yang Berhormat Datuk Rahmad Bin Mariman, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama bersama Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka mengiringi delegasi Tuan Guru Ustaz Abdul Somad membuat kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Di Pertua Negeri Melaka di Istana Negeri Melaka petang tadi.
Kunjungan hormat ini dilakukan bersempena Tuan Guru Ustaz Abdul Somad dijemput khas sebagai penceramah bagi Program Munajat Melaka Sempena Sambutan Maal Hijrah 1445 Hijrah yang diadakan pada 13 Julai 2023 (Khamis) bermula pukul 6.30 petang di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka.
Semoga dengan kunjungan dan kehadiran Tuan Guru Ustaz Abdul Somad ke Negeri Melaka ini dapat memperkasakan lagi kesatuan umat Islam di Negeri Melaka dalam membangunkan syariat Islam berdasarkan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
- Published in Berita
WACANA SEMASA : ISU AKIDAH DAN KESELAMATAN NEGARA
BUKIT BERUANG, 22 Jun -Cawangan Khas IPK Melaka bersama Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka telah menganjurkan Wacana Semasa : Isu Akidah & Keselamatan Negara buat julung kali pada 21 dan 22 Jun 2023 bertempat di Auditorium IPK Melaka.
Antara intipati kursus tersebut merangkumi Isu Sosial Semasa Yang Mampu Mempengaruhi Keselamatan & Kestabilan Negara, Ancaman Perkauman – Isu & Cabaran Semasa, Pemikiran Strategik Dalam Risikan dan Ajaran Sesat & Menyeleweng Yang Mengancam Akidah di Melaka.
Dalam pada itu, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyampaikan dan menerangkan kepada para peserta berkaitan ajaran sesat yang telah mengancam akidah di negeri ini.
Turut hadir YB Tuan Rosli bin Abdullah, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama telah menyempurnakan perasmian wacana tersebut seterusnya menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta yang terlibat.
Seramai 120 orang peserta hadiri terdiri dari Anggota Polis Diraja Malaysia, Kakitangan Jabatan Agama Islam, Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Pusat Zakat Negeri Melaka.
- Published in Berita
MAJLIS CERAPAN RASMI HILAL ZULHIJJAH 1444 H/2023 M
TG BIDARA, 18 Jun – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka bersama Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka telah mengadakan Cerapan Hilal Zulhijjah 1444H/2023M bertempat di Balai Cerap Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka bermula jam 6.40 petang.
Kaedah yang digunapakai di Malaysia adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab dalam menentukan permulaan awal bulan Islam.
Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil telah mengetuai aktiviti mencerap kali ini bersama Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka, Sr Noor Helmy bin Noordin bersama Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Negeri Melaka.
Hasil cerapan petang ini, hilal tidak kelihatan disebabkan faktor cuaca berawan dan tidak menepati kriteria Imkan Al-Rukyah di Balai Cerap Al- Khawarizmi, Tanjung Bidara.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil kemudiannya telah melaporkan kepada Pejabat Penyimpan Besar Mohor Raja-Raja berkaitan hasil cerapan pada petang tadi.
Maka, tarikh permulaan 1 Zulhijjah 1444H adalah jatuh pada 20 Jun 2023 M (Selasa). Oleh demikian tarikh bagi Hari Raya Aidiladha pada tahun ini jatuh pada 29 Jun 2023M bersamaan 10 Zulhijjah 1444 H iaitu pada hari Khamis.
- Published in Berita
KURSUS PENINGKATAN ILMU CALON PEGAWAI SYARAK NEGERI MELAKA BIL.2/2023
TG BIDARA, 11 Jun – Seramai 34 orang calon Pegawai Syarak Negeri Melaka terdiri dari Imam, Bilal, Noja dan Pengurus Jenazah Wanita hadir menyertai Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Syarak Negeri Melaka Bil.2/2023 bagi hari kedua bertempat di Dewan Hamal, Kompleks Falak Al- Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Kursus hari ini melibatkan tiga slot terdiri dari slot Azan,Iqamah & Solat yang telah disampaikan oleh Ustaz Habibullah bin Mohd Ghazali, slot Munakahat disampaikan oleh Ustaz Huzailan bin Hamzah manakala slot Pengurusan Taharah pula telah disampaikan oleh Ustaz Arif Ariffin bin Abu Bakar.
- Published in Berita
KURSUS PENINGKATAN ILMU CALON PEGAWAI SYARAK NEGERI MELAKA BIL.2/2023
TG.BIDARA, 10 Jun – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah menganjurkan Kursus Peningkatan Ilmu Calon Pegawai Syarak Negeri Melaka Bil.2/2023 yang telah diadakan di Dewan Hamal, Komplek Falak Al-Khawarizmi selama 3 hari bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
Tujuan utama kursus ini adalah sebagai medium pemantapan dan pendedahan ilmu kepada semua calon pegawai syarak terdiri dari calon Imam,Bilal, Noja dan Pengurus Jenazah Wanita di Negeri Melaka.
Para calon hari ini diberi pendedahan berkenaan Ilmu Tajwid yang telah disampaikan oleh Dr Muhammad Hafiz Bin Saleh, slot Akidah pula telah disampaikan oleh Dr Mohamad Nazli bin Omar manakala slot Pengurusan Jenazah telah disampaikan oleh Ustaz Habibullah bin Mohd Ghazali.
- Published in Berita
BICARA 2 MUFTI MASJID AL UMM BANDAR BARU BANGI SELANGOR
BANGI,2 Jun – Buat julung kalinya, Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menganjurkan Program Bicara 2 Mufti bertempat di Masjid Al Umm Bandar Baru Bangi, Selangor bermula jam 8.00 malam tadi.
Program bual bicara berbentuk forum ini telah menggandingkan dua orang tokoh hebat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka; Sahibus Samahah Dato’ Setia Prof Madya Dr Haji Anhar bin Opir, Mufti Diraja Negeri Selangor dan Prof Dato’ Dr Haji Abdul Halim bin Tamuri, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor selaku moderator.
Forum bertajuk “ Ibadah Haji & Korban” itu, telah dihadiri oleh lebih 200 orang jemaah terdiri dari penduduk berhampiran.
Dalam pada itu, para jemaah yang hadir turut berpeluang merasai pengalaman mencerap objek astronomi yang telah dikendalikan oleh Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Negeri Selangor.
- Published in Berita
MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI MELAKA BIL.2/2023
TG.BIDARA, 30 Mei – Telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil.2/2023 telah diadakan bertempat di Dewan Hamal, Kompleks Falak Al-Khawarizmi ,Tanjung Bidara, Melaka, pagi tadi.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang hadir.
Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentang dan diberi penerangan oleh pembentang kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bagi mendapatkan pandangan serta mengambil maklum mengenai perkara yang telah dibincangkan.
Tiga kertas kerja tersebut telah dibentangkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (JAIM).
- Published in Berita
PROGRAM BICARA MUFTI MASJID AL EHSAN BUKIT BARU MELAKA
BUKIT BARU,27 Mei – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah mengadakan Program Bicara Mufti di Masjid Al Ehsan Bukit Baru pada jam 9.00 pagi tadi.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ustaz Mohd Fadzil bin Haji Abu Kasim, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan seterusnya beliau merasmikan Program Bicara Mufti kali ini.
Program berbentuk forum ini menampilkan panel kerhormat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka; YBhg. Tuan Hj Ustaz Norazman bin Amat, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kaunseling & Pembangunan Insan MAINS dan Ustaz Muhammad Ainur Robbani bin Nasohah, Timbalan Pegawai Agama Daerah Seremban selaku moderator.
Dalam program ini, Ustaz Mohd Fadzil bin Haji Abu Kasim, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil berkesempatan menyampaikan sumbangan berbentuk kit makanan kepada beberapa keluarga asnaf yang hadir.
Lebih 100 orang dikalangan mualaf dan asnaf serta orang awam di Negeri Melaka hadir bagi mengimarahkan program ini.
- Published in Berita
CERAPAN HILAL ZULKAEDAH 144H/2023M DAN ASTRO-TOURISM PERINGKAT NEGERI MELAKA
TG.BIDARA, 21 Mei – Jabatan Mufti Melaka melalui Bahagian Falak Syarie telah menganjurkan Cerapan Hilal Zulkaedah 144H/2023M Dan Astro-Tourism Peringkat Negeri Melaka bertempat di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara,Melaka.
Program dimulakan dengan Slot 1 berbentuk Bengkel berkaitan “ Pengenalan Objek Angkasa Fenomena Astronomi 2023 yang telah disampaikan oleh En Shahrin bin Ahmad, Pengasas Portal Falak Online kepada lebih 200 orang pelajar terdiri daripada Kolej Yayasan Saad dan Sekolah-Sekolah sekitar Negeri Melaka.
Dalam pada itu, program ini turut menerima lawatan rombongan seramai lebih 100 orang kanak-kanak daripada Pimpinan Cabang Istimewa Muhammadiyyah Malaysia yang turut memeriahkan program berkenaan..
Pada petangnya aktiviti mencerap Hilal Zulkaedah menggunakan kaedah hisab dan rukyah telah disertai himpunan teleskop oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Melaka, Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Melaka serta pelajar-pelajar dari Sekolah-Sekolah di bawah Kelab Falak Negeri Melaka dan orang awam.
Hasil cerapan berkenaan Hilal Zulkaedah 1444H telah berjaya dirakam apabila hilal mula kelihatan pada jam 7.44 malam pada ketinggian 1° 15′ 34″ selama 8 minit secara rasmi menamatkan bualan Syawal pada tahun ini.
YB Tuan Rosli bin Abdullah, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama mewakili Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh telah merasmikan program berkenaan.
Sejurus itu, program diteruskan lagi dengan taklimat Cerapan Langit Malam berkaitan Cerapan Planet Zuhrah dan Marikh yang telah disampaikan oleh En. Shahrin bin Ahmad, Pengasas Portal Falak Online.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi acara-acara yang dipertandingkan sempena program ini antaranya Kuiz Falak dan Astrofotografi.
- Published in Berita