PROGRAM BICARA MUFTI MASJID IBADUR RAHMAN, TANGGA BATU, MELAKA
TANGGA BATU, 15 Disember – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Melaka bersama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah mengadakan Program Bicara Mufti Peringkat Masjid Ibadur Rahman, Tangga Batu, Melaka semalam.
Program bual bicara berbentuk forum bertajuk ini telah menggandingkan dua orang tokoh hebat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Yang Arif Tuan Haji Shukeri Najib bin Ab Rahim, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka dan Ustaz Murad bin Ahmad, Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Melaka selaku moderator.
Forum bual bicara ini menjadi medium Jabatan Mufti Negeri Melaka menyalurkan maklumat berkenaan Isu-Isu Kefatwaan Semasa serta menerangkan kepada orang awam berkaitan fatwa-fatwa yang telah diwartakan di dalam Negeri Melaka khususnya.
Program ini telah dihadiri seramai 200 orang terdiri dari penduduk berhampiran yang hadir mengimarahkan majlis ilmu tersebut.
- Published in Berita
MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI MELAKA BIL.3/2023
KUALA LUMPUR, 21 November – Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil.3/2023 telah bersidang pada 19 November 2023 sehingga 21 November 2023 bertempat di Tamu Hotel & Suites, Kampung Bharu, Kuala Lumpur.
Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang menjadi medium perbincangan dan penyelidikan kepada ahli-ahli mesyuarat berkenaan hukum bagi isu-isu yang diutarakan oleh pihak yang memerlukan keputusan dan penjelasan hukum.
Pembentangan kertas kerja kali ini telah dibentang dan diberi penerangan oleh pelbagai agensi antaranya Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Agama Islam Negeri Melaka, Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Pusat Zakat Negeri Melaka, Lembaga Zakat Selangor dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.
Antara pembentangan kertas kerja yang dibentangkan berkaitan Penetapan Kadar Zakat Fitrah di Negeri Melaka Tahun 1445H/ 2024M, Zakat Mata Wang Kripto Dan Aset Digital Serta Kaedah Pentaksirannya dan Penentuan Hukum Memakan Daging Kultur (Cultured Meat) Menurut Perspektif Islam dan Sains.
- Published in Berita
KUNJUNGAN HORMAT JABATAN MUFTI NEGERI MELAKA KEPADA PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
PUTRAJAYA, 21 Nov – Delegasi Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka diketuai oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka telah mengadakan kunjungan hormat serta ziarah mahabbah kepada Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Putrajaya.
Kunjungan hormat ini disambut mesra oleh Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan bersama pegawai-pegawai dan warga kerja Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu juga, pertemuan ini turut memberi ruang kepada kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pendapat serta menjalinkan kerjasama antara Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di dalam institusi kefatwaan dan pentadbiran islam.
- Published in Berita
KURSUS PEMANTAPAN IMAM NEGERI MELAKA BAGI TAHUN 2023
TG.BIDARA, 16 November – Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah menganjurkan Kursus Imam bagi Surau-Surau yang telah diberi kebenaran khas mengadakan Solat Jumaat di Negeri Melaka bertempat di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara Melaka.
Antara pengisian ceramah yang disampaikan dalam kursus yang berlangsung sehari ini, para peserta yang hadir diberi pendedahan dan penerangan oleh Datuk Muhammad bin Hashim, Imam Besar Masjid Negeri Melaka berkaitan Ciri-Ciri Seorang Pegawai Syarak(Imam), Rukun Qauli & Amali Solat , Persediaan Khatib dan Teknik Penyampaian Khutbah.
Objektif utama kursus ini bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta mengenai tugas dan tanggungjawab seorang imam dalam aspek pengurusan masjid serta meningkatkan sahsiah diri imam dan melahirkan imam yang profesional dalam melaksanakan tugasannya.
Kursus yang dihadiri seramai 70 orang terdiri daripada imam-imam di Negeri Melaka itu, telah dirasmikan oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka yang juga berkesempatan menyampaikan sijil kepada peserta yang hadir.
- Published in Berita
SEMINAR KESEDARAN DAN ADVOKASI PENIPUAN PAKEJ UMRAH
TG.BIDARA, 2 November – Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah menganjurkan Seminar Kesedaran Dan Advokasi Penipuan Pakej Umrah yang telah diadakan bertempat di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka.
Seminar dimulakan dengan ceramah bertajuk “Jerat Tidak Pernah Melupakan Pelanduk” yang telah disampaikan oleh Ustaz Yus Mahadi bin Yusoff, Penolong Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) berkenaan kesedaran kepada masyarakat agar tidak tertipu dengan penawaran Pakej Badal Haji dan Umrah daripada syarikat yang tidak bertauliah dan meragukan.
Seminar kemudian diteruskan dengan diskusi bertajuk berbentuk forum yang menampilkan ASP Mohd Saadon bin Sabrin, Pegawai Penyiasat Jenayah Pelaburan Bersindiket dan Lain-lain Jenayah JSJK Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Prof.Dr.Nuraisyah Chua binti Abdullah, Profesor Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan Ustaz Murad bin Amat, Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Melaka sebagai moderator.
Seminar yang dihadiri seramai 250 orang itu bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran terhadap para peserta mengenai aktiviti penipuan pakej umrah dan menyediakan sumber maklumat yang tepat dan sahih bagi menangani isu penipuan pakej umrah yang berleluasa di kalangan masyarakat kini.
Seminar itu telah dirasmikan oleh YB Datuk Rahmad bin Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka.
- Published in Berita
PROGRAM BICARA MUFTI MASJID AR RAUDHAH, PADANG TEMU
PADANG TEMU, 31 Oktober – Telah berlangsungnya Program Bicara Mufti anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Melaka telah diadakan bertempat di Masjid Ar Raudhah, Padang Temu, Melaka.
Kepentingan fatwa dalam melayari kehidupan jelas dapat dizahirkan dengan pelaksanaan atau perjalanan syariat Islamiyah.Fatwa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan undang-undang islam atau hukum syarak.
Selaras dengan tajuk forum kali ini “Peranan Fatwa” telah menampilkan dua orang panel hebat seperti Sahibus Samahah Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin,Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka bersama Datuk Muhammad bin Hashim, Imam Besar Masji Negeri Melaka serta Ustaz Mohd Nidzar bin Nor Mohamd, Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Negeri Melaka selaku moderator.
Inti pati forum berbentuk bual bicara itu antara lain memberi penerangan kepada jemaah yang hadir berkaitan peranan fatwa dalam menyelesaikan permasalahan ummah dan menyatukan masyarakat supaya lebih berlapang dada dan menerima fatwa sebagai sumber ilmu dan hukum syarak.
Selepas forum, Tuan Haji Hazarudin bin Haji Baharudin, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Melaka berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada 3 orang mantan Pegawai Syarak Masjid Ar Raudhah, Padang Temu, Melaka.
- Published in Berita
PROGRAM BICARA MUFTI MASJID AL-MUHSININ MELEKEK LUAR, ALOR GAJAH, MELAKA
ALOR GAJAH, 16 Oktober – Lebih 300 orang telah menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M sejauh 1.2 kilometer sempena Program Bicara Mufti yang telah diadakn di Masjid Al-Muhsinin, Alor Gajah, Melaka.
Selesai solat maghrib berjemaah program diteruskan dengan program bual bicara berbentuk forum yang menampilkan barisan panel kehormat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, YBhg Ustaz Harryanto Rizal bin Rokman, Penceramah Selebriti dan Al-Fadhil Ustaz Shahrir Asraf bin Datuk Haji Azmi, Pembantu Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Melaka selaku moderator.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, YB Haji Zulkiflee bin Datuk Seri Mohd Zin yang juga Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana bersama penduduk kampung berhampiran yang hadir mengimarahkan forum bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani” berkenaan.
- Published in Berita
KUNJUNGAN HORMAT DARI KOPERASI GABUNGAN MASJID-MASJID NEGERI MELAKA BERHAD (KOGMAS)
ALOR GAJAH, 16 Oktober – Lebih 300 orang telah menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M sejauh 1.2 kilometer sempena Program Bicara Mufti yang telah diadakn di Masjid Al-Muhsinin, Alor Gajah, Melaka.
Selesai solat maghrib berjemaah program diteruskan dengan program bual bicara berbentuk forum yang menampilkan barisan panel kehormat seperti Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Bin Tawil; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, YBhg Ustaz Harryanto Rizal bin Rokman, Penceramah Selebriti dan Al-Fadhil Ustaz Shahrir Asraf bin Datuk Haji Azmi, Pembantu Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Negeri Melaka selaku moderator.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, YB Haji Zulkiflee bin Datuk Seri Mohd Zin yang juga Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana bersama penduduk kampung berhampiran yang hadir mengimarahkan forum bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani” berkenaan.
- Published in Berita
PERARAKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI MELAKA BAGI TAHUN 1445H/2023M
DUYONG, 28 September – Perarakan seramai 6,547 peserta perarakan sempena Maulidur Rasul bagi tahun 2023 Masihi bersamaan 1445 Hijriah Peringkat Negeri Melaka bermula dari Stadium Tun Fatimah ke Dataran Pusat Islam Melaka terdiri daripada 128 kontinjen terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan termasuk swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Kontinjen daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka kali ini telah menyertai perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023M Peringkat Negeri Melaka dengan kekuatan kontinjen seramai 35 orang.
Majlis perarakan tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka. Setelah itu, Tuan Yang Terutama Negeri Melaka bersama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad bin Mariman, bersama barisan EXCO Kerajaan Negeri Melaka serta Ketua Jabatan berarak mengetuai perarakan.
- Published in Berita
LAWATAN KOLEJ KOMUNITI KOTA MELAKA KE BALAI CERAP AL-KHAWARIZMI, TANJUNG BIDARA, MELAKA
TG.BIDARA, 25 September – Jabatan Mufti Negeri Melaka telah menerima lawatan daripada Kolej Komuniti Kota Melaka di Balai Cerap Al-Khawarizmi pada pukul 8.30 pagi.
Lawatan akademik ini telah disambut mesra oleh En.Nor Nazmi bin Razali, Pegawai Sains Jabatan Mufti Negeri Melaka. Lawatan akademik daripada Kolej Komuniti Kota Melaka ini telah di ketuai oleh En. Mohamad Farhan bin Rahman, Timbalan Pengarah Pengurusan Kolej Komuniti Kota Melaka bersama-sama Pensyarah dan para pelajar.
Lawatan akademik ini diadakan adalah untuk meningkatkan kefahaman ilmu berkenaan astronomi, mengenali proses pencerapan hilal yang dilaksanakan di Malaysia serta memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan teknologi-teknologi terkini dalam bidang astronomi.
Para pelajar juga diberi kesempatan merasai segala kemudahan yang ada di Balai Cerap Al-Khawarizmi seperti Galeri Interaktif, melihat tayangan berkaitan ilmu falak dan meninjau suasana di pelantar cerapan.
- Published in Berita